Pendaftaran bayi
Foto hiasan

PULAU PINANG – Trend terkini jangkitan COVID-19 menunjukkan penyakit itu lebih “ganas” terhadap kanak-kanak dengan lebih banyak bayi bawah satu tahun dimasukkan ke wad.

Profesor Madya Dr. Gan Chin Seng dari Universiti Malaya berkata, seperti dengan keadaan di Thailand dan Singapura, antara 75  hingga 90 peratus bayi tersebut adalah dijangkiti ibu bapa ketika berada di rumah.

Beliau memberitahu Kwong Wah Yit Poh, Pusat Perubatan Universiti Malaya meletakkan pesakit kanak-kanak di bawah satu tahun dan yang mempunyai penyakit kronik sebagai pesakit berisiko perlu menerima rawatan di wad.

Katanya, kanak-kanak kumpulan tersebut selalu berada keadaan yang lebih serius dan perlu diberi bekalan oksigen dalam proses rawatan.

Menurutnya, untuk kanak-kanak satu tahun ke atas pula, mereka boleh dipantau di rumah kerana tidak memerlukan ubat yang khusus.

“Untuk rawatan kecemasan yang diberikan kepada bayi, kami melihat lebih banyak kes dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

“Pusat Perubatan Universiti Malaya juga mendapati kes membabitkan varian Delta meningkat secara secara berterusan dan keadaan adalah membimbangkan,” katanya kepada Kwong Wah Yit Poh.

Menurut Dr. Chin Seng, kadar jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak adalah lebih rendah berbanding dewasa.

“Di Malaysia, keadaanya adalah kira-kira 15 peratus jika dibandingkan dengan kes jangkitan orang dewasa,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, data global termasuk Malaysia juga menunjukkan kes jangkitan dalam kalangan kanak-kanak meningkat secara berlipat-lipat ganda.

“Tahun ini setakat 30 Mei terdapat 82,341 kanak-kanak terjangkit dan ini merupakan peningkatan 10 lipat ganda berbanding tahun 2020,” katanya.

Menurutnya, walaupun kadar kematian kanak-kanak di peringkat global tidak tinggi, tetapi jumlah mereka dengan gejala serius telah meningkat.

Dr. Chin Seng berkata, sehingga 75 hingga 90 peratus kanak-kanak dijangkiti oleh ibu bapa mereka yang membawa balik virus dari luar.

“Pusat Perubatan Universiti Malaya sedang mengumpul data dan bekerjasama dengan Singapura dan Thailand dalam melakukan penyelidikan.

“Data kami menunjukkan hasil yang sama iaitu kanak-kanak dijangkiti di rumah,” katanya. – MalaysiaGazette