KUALA LUMPUR – Syarikat e-hailing Gojo Malaysia (Gojo) menawarkan bonus sebanyak RM250 kepada semua pemandunya hari ini sempena ulang tahun pertama syarikat itu dan juga Hari Kebangsaan ke-64.
Ketua Pegawai Operasi Gojo, Pradeep Kumar berkata, pemberian bonus itu dapat membantu pemandunya dalam keadaan sukar ketika ini.
Selama tahun pertama beroperasi, katanya, Gojo telah menawarkan potongan harga untuk perjalanan vaksinasi, tawaran semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga memperkenalkan ciri teknologi keselamatan seperti amaran pengecaman wajah dan sebagainya.
“Gojo berjaya mencapai ulang tahun pertamanya walaupun perjalanan yang mencabar disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang mengakibatkan beberapa siri PKP yang dilaksanakan oleh Kerajaan.
“Syarikat tidak membuat sebarang rungutan dengan keadaan ini sebaliknya terus mengambil langkah proaktif dalam memastikan perjalan syarikat terus berkembang dengan tenang dan stabil sejak satu tahun yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kumar menambah, pihaknya telah menerima sokongan dari pemandu dan pelanggan dan sehingga kini adalah sebanyak 175,000 menjadikan Gojo sebagai syarikat yang paling pesat berkembang di Malaysia.
Jelas beliau, pihaknya menyedari selama tempoh pandemik, pemandu e-hailing telah menerima pendapatan yang rendah dan tidak setimpal.
“Para pemandu berhak untuk mendapat sistem harga yang adil untuk perkhidmatan mereka. Menyedari keperluan ini, Gojo adalah satu-satunya syarikat e-hailing kedua di Malaysia yang mewujudkan sistem harga wajar dinamik yang memberi faedah kepada pemandu dan pelanggan.
“Pelanggan hari ini memahami perkhidmatan e-hailing dengan baik dan Gojo berusaha untuk melindungi persefahaman dan hubungan itu,” katanya.
Kumar memberitahu, Gojo akan meneruskan strategi yang bermanfaat bagi pelanggan, dan pemandu, dengan amalan pasaran yang beretika.
Sementara itu, untuk perjalanan dengan tawaran yang lebih baik, orang ramai boleh melayari http://onelink.to/gojomy. – MalaysiaGazette