Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Kelas dalam talian yang dijalankan telah menyebabkan jumlah murid yang berdepan masalah rabun jauh meningkat dua kali ganda.

Presiden Persatuan Optometri Malaysia, Ng Choon Lim berkata, dengan setiap pelajar menghabiskan antara lima hingga tujuh jam sehari untuk persekolahan dan kelas tuisyen secara online, penggunaan gajet, telefon pintar dan komputer untuk masa yang panjang menyebabkan masalah rabun jauh menjadi lebih serius.

Choon Lim berkata, perkara tersebut disahkan melalui pemerhatian ahli persatuan dan pengilang yang berkecimpung dalam bidang optometri.

Katanya, anggaran lebih tepat bagaimanapun tidak dapat diketahui kerana ramai ibu bapa masih berwaspada untuk membawa anak mereka ke kedai cermin mata disebabkan keadaan wabak semasa.

“Bagaimanapun, memang terdapat ramai ibu bapa yang mengadu bahawa anak mereka berdepan masalah rabun jauh, astigmatisme dan sakit kepala kerana menggunakan komputer terlalu lama.

“Apabila sekolah dibuka semula, maka ibu bapa juga akan membawa anak untuk menerima ujian mata,” katanya kepada China Press.

Menurutnya, walaupun jumlah penduduk dengan masalah rabun jauh dijangka meningkat, tetapi keadaannya adalah lebih serius di Hong Kong dan Korea Selatan.

“Kira-kira 50 peratus populasi Malaysia mempunyai rabun jauh berbanding 80 peratus di Hong Kong dan 90 peratus di Korea Selatan,” katanya.

Menurutnya, pelajar menggunakan gajet untuk belajar dan selepas sesi pelajaran, mereka juga berhibur dengan permainan dalam talian sehingga menyebabkan masalah mata.

Katanya, mata harus direhatkan selama 20 saat selepas 20 minit menggunakan komputer dengan memandang ke objek di kawasan 20 kaki jauh.

Ujarnya, mata juga harus dijarak sebanyak 40 hingga 50 sentimeter dari skrin komputer atau telefon. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast