KUALA LUMPUR – Penggubal polisi Malaysia perlu merangka dasar-dasar luar biasa bagi membantu negara menangani cabaran akibat pandemik COVID-19, kata usahawan serta dermawan Tan Sri Jeffrey Cheah.
Beliau yang juga pengasas dan pengerusi Sunway Group berkata keadaan semasa yang menyaksikan ramai dibebani kesukaran hidup hanya menjadikan keperluan mengetengahkan perkara-perkara luar biasa kian penting, terutama bagi menggalakkan ahli perniagaan untuk terus melabur atau melabur semula serta memacu perniagaan masing-masing.
“Kita sememangnya dalam keadaan sukar dengan kerugian yang dialami mencecah jutaan ringgit serta tidak lagi mampu untuk memastikan makanan dapat disajikan (untuk diri sendiri mahu pun keluarga). Apa terbaik sekarang adalah bertindak berani untuk mengetengahkan inisiatif-insiatif, dasar serta belanjawan yang berbeza daripada pendekatan lama dengan turut mengambil kira kesengsaraan yang dialami oleh rakyat biasa,” katanya pada sesi program bual bicara ‘Coversation’ secara maya anjuran MIDF.
Dalam temu bual yang dikendalikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan MIDF Datuk Charon Wardini Mokhzani, Cheah menekankan kepentingan bagi Malaysia mempunyai dasar bersesuaian yang dapat menghidupkan semula perniagaan, menyuntik keyakinan serta mempercayai kerajaan dan institusi selain dapat menyatukan rakyat demi kesejahteraan sistem sedia ada.
Beliau juga menyentuh Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang disifatkannya sebagai dasar yang amat kurang memberi motivasi serta perlu diteliti semula.
Program itu mendapat sambutan baik sejak diperkenalkan pada 2002, termasuk menawarkan visa 10 tahun yang boleh diperbaharui dan berjaya menarik pemohon dari negara-negara Asia seperti China, Jepun dan Korea Selatan.
Malah, ia juga dilaporkan menjana sebanyak RM40.6 billion daripada sejumlah 21,841 permohonan yang diluluskan bagi tempoh 2002 hingga 2018.
MM2H telah diperkenalkan semula dengan peraturan lebih ketat bagi menarik pemohon yang boleh menyumbang kepada ekonomi negara.
Cheah mendakwa peraturan baharu berkenaan menyukarkan inisiatif MM2H berbanding pemberian insentif.
“Kita mempelawa mereka untuk melabur dalam bentuk (pembelian) sebuah rumah di sini. Adalah tidak wajar untuk mengusir mereka secara tiba-tiba selepas mereka membawa masuk berbilion dolar untuk menetap di sini dan membawa masuk pelancong yang memudahkan serta dapat menjana banyak wang tunai dalam industri pelancongan.
“Kenapa perlu membuat perubahan mendadak?” katanya.
Bagi kemajuan masa depan, Cheah berkata individu atau pihak berwajib perlu berfikir secara mendalam untuk tidak membebankan rakyat dengan dasar-dasar negatif.
Selain itu, beliau turut memuji inisiatif digitalisasi kerajaan berikutan masalah sedia ada tidak lagi boleh ditangani dengan pemikiran lama, sebaliknya perlu menerimaguna era digital masa kini.
“Sebagai kata-kata dorongan untuk anak muda yang mahu berjaya, saya ingatkan supaya mereka berusaha untuk memastikan diri mempunyai nilai-nilai murni sewajarnya.
“Ini penting kerana sebagaimana yang kerap dikatakan — ‘sikap adalah hala tuju masa depan dan sikap juga dibentuk oleh nilai-nilai diri kita.’ Hanya menerusi nilai-nilai murni dan usaha gigih membantu membentuk masa depan dan jangan sekali-kali ambil jalan singkat.
“Integriti adalah sesuatu yang tiada kompromi dan kita perlu sentiasa merendah diri dan jadikannya nilai teras dan berusaha untuk mencapai kecemerlangan,” katanya. – BERNAMA