Datuk Seri Najib Razak

PUTRAJAYA – Kerajaan sekali lagi gagal dalam permohonan untuk melucut hak harta UMNO bernilai jutaan ringgit apabila Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan keputusan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

Selain UMNO, sebanyak tujuh lagi entiti berkaitan termasuklah Wanita MCA Pahang berjaya mengekalkan keputusan daripada melucut hak yang disita didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hari ini, panel tiga hakim Hakim Mahkamah Rayuan turut membenarkan rayuan Badan Perhubungan UMNO Pahang bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan pendakwaan melucut hak RM2,479,300.18 disita daripada badan perhubungan UMNO negeri itu.

Tiga panel Hakim itu yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Hakim Datuk Abu Bakar Jais membuat keputusan tersebut ketika prosiding dalam talian, Zoom.

Ketika membacakan keputusan, Mahkamah Rayuan mendapati Hakim Mahkamah Tinggi dalam rayuan UMNO Pahang terkhilaf apabila tidak menghiraukan fakta yang tidak boleh dipertikaikan.

Fakta itu adalah duit yang diberikan oleh Perdana Menteri ketika itu,  Datuk Seri Najib Razak sudah dibelanjakan dan wang itu dari sumber lain yang tidak bercanggah dengan undang-undang.

“Oleh itu, Mahkamah Rayuan ini membenarkan rayuan perayu dan mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan pendakwaan melucut hak RM2,479,300.18 disita daripada Badan Perhubungan UMNO negeri itu,” kata Hakim Hadhariah.

Dalam penghakiman permohonan pendakwaan untuk melucut hak harta lapan entiti termasuk UMNO dan Wanita MCA membabitkan wang juta ringgit, Mahkamah Rayuan berpendapat tiada alasan untuk mengganggu keputusan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan kemudian bertindak menolak permohonan rayuan pendakwaan dan bersetuju dengan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa duit yang diterima daripada Najib adalah pembayaran bagi perkhidmatan yang diberikan oleh responden kepada bekas Perdana Menteri itu.

“Responden menyokong kes mereka dengan bukti dokumen seperti invois. Selain itu responden juga tiada pengetahuan dan sebab untuk mengesyaki bahawa duit yang diterima daripada Najib adalah hasil aktiviti haram.

“Hakim Mahkamah Tinggi berpendapat adalah tidak adil untuk melucut hak terhadap duit responden tanpa bukti daripada pendakwaan bahawa wang berkenaan adalah hasil aktiviti haram dan menolak permohonan pendakwaan,” putusnya.

Pada 7 Feb tahun lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kerajaan untuk melucut hak dana bernilai RM192 juta milik Umno yang didakwa berkaitan dengan dana 1MDB.

Ketika itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan dana itu ada kaitan dengan cek yang dideposit lebih awal oleh mantan Presiden UMNO dan Perdana Menteri ketika itu.

Panel hakim juga menolak rayuan pihak pendakwaan dalam beberapa kes lain saman melucutkan hak terhadap pelbagai entiti politik dan perniagaan.

Entiti lain ini adalah Wanita MCA (RM300,000); Badan Perhubungan Umno Kedah (RM1.05 juta); penjual tudung Perano (RM337,634.78), pembekal khemah Binsabi Sdn Bhd (RM827,250); Habib Jewels Sdn Bhd (RM100,000); K&Z Enterprise Sdn Bhd (RM138,359.60); dan Hattatex Trading (RM111,590).

UMNO dan pelbagai entiti tersebut adalah antara 41 entiti dan individu yang disaman dengan tuntutan saman lucut hak dari SPRM untuk mendapatkan semula sejumlah RM270 juta wang yang didakwa ada kaitan dengan 1MDB. -MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Pendakwa gagal #koyak kerana tiada bukti yang jelas dan hanya pada andaian semata-mata yang menyebabkan pihak dituduh teraniya

Comments are closed.