PARIS – Bintang sensasi dunia, Cristiano Ronaldo akhirnya menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam bola sepak antarabangsa lelaki selepas meledak dua gol ketika Portugal menewaskan Republik Ireland 2-1, awal pagi tadi dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022 zon Eropah.
Sky Sports melaporkan, Portugal bermula agak malang menyaksikan sepakan penalti Ronaldo diselamatkan penjaga gol muda Gavin Bazuni di Faro sebelum Ireland mendahului permainan menerusi tandukan John Egan di akhir babak pertama.
Ketika skuad kendalian Stephen Kenny begitu hampir untuk menamatkan permainan dengan kemenangan, Ronaldo meledak gol penyamaan pada minit ke-89 yang mengatasi rekod 109 gol milik legenda Iran Ali Daei.
Pemain 36 tahun itu kemudian memastikan tiga mata milik Portugal dalam minit keenam masa kecederaan, melompat tinggi untuk menanduk hantaran Joao Mario.
Pemenang lima kali Ballon d’Or itu turut menyamai rekod 180 penampilan Eropah milik Sergio Ramos.
Portugal kini mendahului Kumpulan A dengan 10 mata daripada empat perlawanan.
Hanya juara kumpulan layak secara automatik ke pusingan akhir di Qatar tahun hadapan, manakala naib juara mengharungi play-off.
Juara bertahan Perancis pula diikat 1-1 oleh Bosnia dan Herzegovina
Perancis, bermain buat pertama kali sejak tewas kepada Switzerland di Euro 2020, ketinggalan di Strasbourg hasil jaringan Edin Dzeko namun bangkit menyamakan kedudukan menerusi Antoine Griezmann.
Perancis mendahului Kumpulan D dengan jurang empat mata ke atas Ukraine. – MalaysiaGazette