Seramai 21 pendatang asing tanpa izin warganegara Indonesia ditangkap tentera ketika sedang bersembunyi di tepi pantai Jalan Tanjung Balau - Sedili Kecil (Bio-Desaru).

KUALA LUMPUR – Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) menangkap 12 pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam Op Benteng di kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia hari ini.

Pati warganegara Indonesia ditangkap kira-kira jam 4.30 pagi, sebaik anggota petugas Pos Pemerhati mengesan pergerakan bot mencurigakan di kawasan Bio-Desaru, Bandar Penawar, Johor.

Menurut kenyataan, hasil maklumat itu, pasukan telah menghantar Tim Quick Reaction Force (QRF) ke kawasan berkenaan.

“Hasil penjejakan yang dilakukan telah berjaya 21 Pati sedang bersembunyi di tepi pantai Jalan Tanjung Balau – Sedili Kecil (Bio-Desaru).

“Mereka terdiri daripada 15 lelaki dan enam wanita berusia 19 hingga 44 tahun dan dipercayai baru sahaja tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah.

“Nilai rampasan dianggarkan RM11,520 melibatkan mata wang Malaysia RM 1,430, matawang Indonesia IDR11,562 (RM3,370.60) dan 21 telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, semua mereka dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas.

Laporan turut dibuat di Balai Polis Bayu Damai, sebelum pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF menjejak kemungkinan saki baki pendatang asing di sekitar kawasan tangkapan.

Kata kenyataan itu, Tentera Darat akan sentiasa bersedia mengawal dan meningkatkan lagi kesiagaan serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan jenayah dan membolosi sempadan negara.

Kerjasama agensi dalam Op Benteng itu akan terus dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan perairan dan daratan negara bebas daripada aktiviti yang boleh mengancam keselamatan mahupun aktiviti yang menyalahi undang-undang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast