KUALA LUMPUR – Lelaki yang popular dengan lagu parodi bernama Azman Naim selesai menghadap Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam.
Sebelum ini, Azman tular dengan sebuah lagu parodi berjudul My Sejahtera Way di media sosial sehingga dicari oleh Tunku Ismail.
Menerusi Facebook miliknya, Azman atau nama sebenarnya Mohd Nur Azman Naim mengakui sangat terharu dengan pendekatan seorang pemerintah yang sangat prihatin terhadap rakyat serta menerima kehadirannya masuk menghadap.
“Ampun Tuanku Tunku Mahkota Johor. Menjunjung kasih kerana Tuanku terima patik menghadap. Segala yang dititah akan selamanya tersemat dalam hati.
“Patik menjunjung kasih kerana Tuanku sentiasa peka dengan permasalahan rakyat Johor.
“Sanggup meluangkan masa terima patik menghadap dan berkongsi pendapat serta pandangan tentang pelbagai isu rakyat. Semoga Allah sentiasa membantu Tuanku dalam menjaga rakyat serta membangunkan negeri Johor.
Patik dan sahabat akan sentiasa bersama Tuanku. Kita akan lakukannya bersama. Untuk rakyat dan negeri Johor,” tulisnya sambil berkongsi sekeping gambar bersama TMJ.
Perkongsian usahawan yang dikenali dengan keunikan vokal membawakan lagu parodi khusus mengenai situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertengahan tahun lalu itu ternyata menarik perhatian dan rasa bangga rata-rata pengikutnya.
Mengenakan sut serba hitam lengkap bersongkok, Azman, 36, tampak segak berdiri di sebelah TMJ.
Terdahulu, TMJ menyempurnakan permintaan ayahanda baginda, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar susulan sebuah video nyanyian semula My Way dendangan Frank Sinatra yang dimuat naik Azman dalam Instagram.
TMJ dalam hantaran menerusi InstaStory turut memuji perkongsian @azmannaim44mantra selain mengulang hantaran video lelaki asal Kulai Johor itu bersama kapsyen ‘First Class’.
Menyedari TMJ sedang mencarinya, @azmannaim44mantra atau nama sebenarnya turut memberikan maklum balas dengan menulis ‘Menjunjung Kasih Tuanku’.
Azman yang juga bapa kepada dua anak aktif membawakan lagu popular yang ditukar ke lirik bahasa Melayu dengan mengambil isu semasa sebagai tema nyanyian lagu saduran dalam media sosial.
Bukan sekadar mempunyai vokal hebat, seni kata yang diketengahkannya cukup dekat dengan situasi dilalui masyarakat masa kini yang terpaksa berperang dengan pandemik Covid-19.
Malah lagu My Way ditukar judul kepada My Sejahtera Way yang dimuat naik sejak 24 Ogos lalu menjurus kepada keluhan orang ramai belum mendapat suntikan vaksin Covid-19.
Antara lagu lain berkisar PKP yang dikongsikan usahawan itu dalam laman sosial Instagram serta TikTok termasuk mengenai permohonan i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium. – MalaysiaGazette