Gambar hiasan

KUCHING – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

“Mahkamah dengan ini membenarkan perintah mandamus bahawa responden mengambil semua langkah yang diperlukan bagi membolehkan Seksyen 3 (Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019) berkuat kuasa secepat mungkin dan dalam apa jua keadaan menjelang 31 Disember 2021,” katanya.

Beliau turut membenarkan permohonan kelima-lima anak muda untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan responden (Perdana Menteri ketika itu, kerajaaan dan SPR) yang menangguhkan pelaksanaan Seksyen 3 berkenaan selepas September 2022.

Seksyen 3 menyatakan bahawa umur mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun dan membenarkan pendaftaran pengundi secara automatik bagi menggantikan sistem semasa yang menyaksikan rakyat Malaysia perlu memohon untuk mendaftar sebagai pengundi.

Siew berkata, mahkamah turut mendapati bahawa adalah tidak masuk akal bermula dari 2019 hingga 10 Mac 2021, responden berulang kali menyatakan bahawa mereka di landasan yang betul untuk melaksanakan Seksyen 3 menjelang Julai 2021 namun  dua minggu kemudian pada bulan sama, mendakwa bahawa pelaksanaannya hanya boleh dilakukan paling awal pada September 2022.

“Mahkamah juga mendapati bahawa sebarang keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan Seksyen 3 selepas September 2022 bukan sahaja benar-benar tidak rasional malah tidak sah,” katanya.

Permohonan semakan kehakiman itu telah difailkan oleh kelima-lima anak muda yang berumur lingkungan 18 hingga 21 tahun pada 4 Mei lepas.

Mereka diwakili peguam Simon Siah dan Clarice Chan manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dan Azizan Md Arshad mewakili responden. – Bernama