Antara 17 individu yang dipercayai menyertai parti liar di sebuah residensi mewah di ibu negara semalam

KUALA LUMPUR – Polis menahan 17 individu termasuk seorang nenek yang dipercayai menyertai parti liar di sebuah residensi mewah di Jalan Sultan Ismail, di sini, semalam.

Serbuan pada pukul 11.55 malam itu dijalankan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur.

Ketua JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd Latif berkata, kesemua 17 individu yang ditahan membabitkan lapan lelaki dan sembilan wanita warga tempatan berusia lingkungan 13 hingga 54 tahun.

Menurutnya, siasatan awal mendapati penganjur parti liar itu merupakan seorang wanita berusia 23 tahun yang menganjurkan sambutan ulang tahun kelahirannya.

“Kita dapati antara pengunjung yang hadir adalah pelajar sekolah berumur 13 tahun bersama abangnya menyertai parti tersebut.

“Selain itu, salah seorang pengunjung adalah wanita berumur 54 yang telah mempunyai dua orang cucu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Sahar berkata, saringan air kencing yang dijalankan mendapati empat pengunjung lelaki dan empat pengunjung wanita disahkan positif dadah jenis methamphetamine dan ketamin.

Dadah yang dirampas dalam serbuan parti liar di sebuah residensi mewah di ibu negara.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut di premis berkenaan turut menjumpai dadah jenis ekstasi seberat 10.73 gram dan ketamin dianggarkan seberat 2.88 gram selain rampasan satu unit pembesar suara serta lampu laser.

“Soal siasat awal ke atas penganjur, mendapati premis tersebut disewa dengan harga RM350 sehari dan tiada bayaran dikenakan kepada pengunjung lain yang hadir.

“Semua pengunjung dikenakan kompaun berjumlah RM2,000 setiap seorang di bawah Peraturan 17(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) (Pelan Pemulihan Negara) (No. 2) 2021 dengan jumlah keseluruhan RM34,000.

“Pemilik kediaman dan penganjur juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 13(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” ujarnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Dalam pada itu, Sahar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius penganjuran parti liar yang melibatkan penyalahgunaan dadah dan aktiviti tidak bermoral.

“Kita beri amaran keras kepada orang ramai agar tidak terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung di dalam aktiviti tersebut. Kita juga mohon kerjasama dari pihak pengurusan hotel, servis apartmen dan kondominium untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan aktiviti parti liar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast