PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kawalan pergerakan dapat menghentikan orang ramai berkumpul, tetapi ia tidak dapat mengikat nafsu orang.

Di Selangor sahaja, sebanyak 51 kes ugutan bogel telah dilaporkan pada tahun lalu, tetapi jumlah itu meningkat kepada 128 kes tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, kes ugutan tersebut selalunya membabitkan mangsa yang berasa sunyi dan bosan.

Beliau berkata, mangsa membabitkan pelbagai peringkat umur dan latar belakang, termasuk  mangsa dalam bidang profesional.

“Kebanyakan kes ugutan membabitkan kenalan dalam alam siber dan selepas masa tertentu, mangsa akan diminta untuk berbogel atau melakukan aksi tidak senonoh.

“Mangsa kemudian akan diugut dengan aksi bogel yang dirakamkan,” katanya kepada China Press.

Beliau berkata, selain ugutan oleh kawan maya, terdapat juga kes membabitkan bekas pasangan yang menggunakan rakaman video atau gambar bogel untuk mengekalkan hubungan.

“Selain itu, dalam kes tertentu, ia membabitkan rakaman kendiri tetapi bahan itu diperoleh sesetengah pihak selepas telefon dijual,” katanya.

Nik Ezanee berkata, sekiranya tindakan segera diambil, polis mungkin boleh berjaya menyekat rakaman berkenaan disebarkan melalui kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

“Polis akan bekerjasama dengan MCMC untuk mengenal pasti kedudukan orang yang memuat naik rakaman dan menahan mereka,” katanya.

Menurutnya, kes ugutan membabitkan rakaman bogel selalunya tiada penghujung.

“Mangsa akan terus diugut sehingga semua duitnya habis,  apabila dia sudah tidak mampu berbuat apa-apa, maka rakaman bogelnya akan disebarkan,” katanya. – MalaysiaGazette