KUALA LUMPUR- Pencapaian cemerlang atlet lompat jauh paralimpik negara, Abdul Latif Romly membuktikan Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, kejayaan itu juga membuktikan dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia

Baginda berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan beliau yang mengharumkan nama negara di persada dunia, berharapkejayaan dan semangat perjuangan Abdul Latif Romly turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat, khususnya para atlet di Malaysia, untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing di dalam negara mahu pun di persada antarabangsa.

Baginda turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Abdul Latif dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dan memahat sejarah serta mengharumkan nama di kejohanan-kejohanan mendatang.

Abdul Latif, 24, berjaya mengekalkan emas yang dimenanginya lima tahun lalu di Paralimpik Rio 2016 apabila melakukan lompatan sejauh 7.45 meter dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Olimpik Tokyo.

Pingat perak acara itu dimenangi atlet Greece, Athanasios Prodromou dengan catatan 7.17m manakala Nicholas Hum meraih gangsa dengan 7.12m. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast