Bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang juga bekas ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid (tengah) berjalan keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas 14 pertuduhan rasuah berjumlah RM23,540.68 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 13 FEBRUARI 2019.

KUALA LUMPUR – Keputusan menarik balik sebanyak 29 pertuduhan rasuah terhadap bekas Ahli Lembaga Pengarah FELDA, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid oleh pihak pendakwaan baru-baru ini adalah berasaskan fakta yang disahkan daripada siasatan lanjut.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan, perkara itu bermula apabila tertuduh mengemukakan representasi dan pernyataan pembelaannya di bawah Seksyen 62 Akta SPRM 2009 semasa perbicaraan telah berlangsung.

Susulan itu SPRM telah menjalankan siasatan lanjut berkenaan pembelaan tersebut, katanya.

“Berdasarkan dapatan baharu menerusi keterangan baharu yang dikemukakan, tertuduh berjaya membuktikan bahawa beliau telah membayar balik wang yang didakwa sebagai rasuah itu sebelum siasatan dimulakan.

“Saksi utama turut mengesahkan perkara tersebut sebagai wang pinjaman,” demikian menurut agensi penguatkuasaan undang-undang itu dalam satu kenyataan hari ini.

SPRM katanya, telah merujuk kembali kes berkenaan kepada Pejabat Peguam Negara dan diputuskan perbicaraan tidak diteruskan berdasarkan perkembangan terbaharu siasatan tersebut.

Malah, katanya keputusan itu dibuat kerana keterangan saksi utama tidak konsisten.

Pihak pendakwaan juga jelas SPRM, telah memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung penarikan balik kesemua 29 pertuduhan itu, semasa prosiding perbicaraan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin pada 21 Mei 2021.

Pada 1 September lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebas Noor Ehsanuddin atas 29 pertuduhan rasuah yang dihadapinya.

Perbicaraan kes itu bermula pada Ogos 2019 dan seramai 24 saksi pendakwaan, antaranya pegawai bank dan pegawai Suruhanjaya Syarikat Malaysia, telah memberi keterangan.

Noor Ehsanuddin, 58, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas 14 pertuduhan menerima rasuah bagi bayaran ansuran kenderaan berjumlah RM23,540.68 daripada sebuah syarikat percetakan, Karya Hidayah Sdn Bhd pada 2014 dan 2015.

Difahamkan kenderaan itu adalah sebuah kereta jenis BMW 3 Series.

Di Mahkamah Johor Bahru, tertuduh didakwa atas 10 pertuduhan termasuk menerima suapan wang tunai bernilai RM50,000 dan sebidang tanah daripada syarikat sama, pada 2013 dan 2014.

Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas lima pertuduhan menerima benda berharga iaitu penyelenggaraan dua buah kenderaan dan yuran guaman bagi pembelian tanah bernilai RM12,707.60.

Kes di Johor Bahru dan Shah Alam dibicarakan bersama dengan kes di Mahkamah Sesyen di sini. – MalaysiaGazette