Gambar hiiasan

ISLAM  sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia merujuk kepada Perkara 3(1). Islam juga disebut sebagai agama rasmi di Malaysia.

Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam sejarah dan kebudayaan Melayu. Sebelum merdeka, agama Islam sudah pun lama bertapak di negeri-negeri Melayu seperti contoh Johor dan Terengganu. Hal ini termaktub dalam Perkara VII Perlembagaan Negeri Johor 1895 dan peruntukan Bab 51 Perlembagaan Negeri Terengganu 1911.

Justeru itu, pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam perlu diberi perhatian dan diurus dengan baik dalam rangka untuk menyatukan masyarakat dan meninggikan syiar Islam di Malaysia dalam suasana masyarakat majmuk.

Inisiatif Mantap yang telah digariskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang baharu, Senator Haji Idris Ahmad menggunakan tema ‘Bersama Agensi Islam Menyantuni Keluarga Malaysia Mendepani Covid-19’ bagi pentadbiran hal ehwal Islam kini wajar disambut baik oleh pelbagai pihak.

Bagi memastikan tema pentadbiran yang dicadangkan itu direalisasikan, berikut disertakan idea dan buah fikiran yang boleh diberi perhatian oleh pelbagai lapisan masyarakat berasaskan lima strategi di bawah Inisiatif Mantap tersebut.

Pertama, pemantapan mental, jasmani dan rohani. Kesihatan mental, jasmani dan rohani perlu ditekankan dan diambil berat bagi mencapai kesejahteraan hidup, apatah lagi dalam situasi pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara. Pepatah Arab ada menyatakan “akal yang sihat terletak pada tubuh yang sihat”.

Keterlibatan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, NGO dan individu perlu disinergikan bagi membantu masyarakat Malaysia yang berada dalam masalah dan tekanan hidup.

Saranan Nabi SAW untuk membantu golongan yang menghadapi ujian dan tekanan terdapat dalam hadis yang bermaksud “Sesiapa yang melepaskan saudara mukmin daripada kesusahan di dunia, maka Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat” (Riwayat Muslim, no. 2699).

Kedua, pemantapan sistem pendidikan Islam. Pendidikan Islam perlu diberi perhatian dan penekanan kepada masyarakat Islam. Pengisian dan kefahaman terhadap ajaran agama sangat penting bagi memastikan kejayaan hidup di dunia dan akhirat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat” (Surah al-Mujadalah: 11)

Seterusnya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa yang mengehendaki (kejayaan) hidup di dunia, hendaklah dengan ilmu. Siapa yang mengehendaki (kejayaan) hidup di akhirat, hendaklah dengan ilmu. Siapa yang mengehendaki kedua-duanya (kejayaan hidup di dunia dan akhirat) hendaklah dengan ilmu” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, pihak berwajib berusaha memastikan aspek mekanisme pengajaran dan pembelajaran kurikulum serta disesuaikan mengikut norma baharu pendidikan masa kini supaya tidak ketinggalan. Pada masa yang sama, masyarakat Islam perlu bersemangat dan dimotivasikan kepentingan pendidikan Islam untuk terus belajar.

Ketiga, pemantapan institusi kekeluargaan, sosial dan komuniti Islam. Isu-isu gejala sosial dan jenayah yang melanda masyarakat seperti pengambilan dadah, ketagihan alkohol, perjudian, seks luar nikah, kecelaruan jantina, ajaran sesat dan sebagainya perlu dan wajar ditangani secara bersama supaya membawa imej yang baik kepada Islam dan negara.

Justeru itu, kesediaan setiap anggota masyarakat untuk menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing ke arah membanteras kemungkaran dan menutup segala ruang gejalanya sangat diperlukan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah amat berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)” (Surah al-Maidah: 2).

Keempat, pemantapan institusi masjid dan surau. Fungsi dan peranan institusi masjid dan surau perlu dihidupkan kembali selaras dengan pematuhan SOP yang telah ditetapkan dalam situasi pandemik Covid-19.

Oleh itu, semua pihak jawatankuasa masjid dan surau disarankan perlu lebih kreatif dan inovatif dalam melaksanakan pengimarahan dalam konteks norma baharu seperti aktiviti pendanaan, program keilmuan, khidmat kaunseling, penyaluran bantuan, kesukarelawanan dan sebagainya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bahawa yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi daripada golongan yang mendapat petunjuk” (Surah al-Taubah: 18).

Kelima, pemantapan sosioekonomi ummah. Islam telah menyediakan pelbagai instrumen kewangan sosial seperti zakat, wakaf, sedekah dan hibah bagi membantu golongan yang memerlukan dan terkesan dari sudut kewangan dan pendapatan, apatah lagi dalam situasi pandemik Covid-19.

Justeru itu, penyelarasan dan tindakan secara bersama dari pelbagai institusi baitulmal, institusi zakat, institusi wakaf di setiap negeri serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) di peringkat persekutuan sangat perlu dalam membantu masyarakat.

Demikianlah sinergi pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, pihak swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu sangat diperlukan dalam menjayakan dan menambahbaik pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia. Semoga lima Inisiatif Mantap dan Pelan Intervensi Agensi Agama Mendepani Covid-19 atau PIAGAM-C19 dapat direalisasikan dengan jayanya.

Dr Azri Bhari
Pensyarah Kanan
Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS)
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Shah Alam, Selangor

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast