Foto Instgaram Thanasis Prodromou.

KUALA LUMPUR – Atlet Greece, Thanasis Pradramou meluahkan penghargaan terima kasih kepada rakyat Malaysia selepas ruangan komen di Instagramnya dibanjiri dengan pujian daripada rakyat negara ini.

Menerusi hantaran di Insta Storynya, Thanasis melahirkan ucapan itu di atas komen-komen positif yang diterimanya dalam bahasa Greek dan Bahasa Melayu.

Sejak semalam, Thanasis dipuji netizen selepas menjadi orang pertama yang menghulurkan bantuan kepada atlet negara, Abdul Latif Romly yang cedera semasa sukan Paralimpik Tokyo.

“Terima kasih banyak atas cinta anda yang unik,” katanya.

Sementara itu, ruangan komen hantaran terkini laman Instagram Thanasis mendapati lebih 10,000 komen ditinggalkan dan kebanyakannya adalah ucapan terima kasih dan tahniah daripada rakyat negara ini.

Malah pengikut atlet berusia 27 itu di Instagram naik mendadak daripada 3,000 orang ke 10,000 ketika ini. – MalaysiaGazette