KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi meneliti potensi menamatkan kontrak projek pembinaan fasa dua Hospital Papar, Sabah.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, hospital yang sepatutnya disiapkan pembinaan fasa keduanya pada tahun lepas masih belum diselesaikan oleh kontraktor.
“Saya datang pantau pembinaan Hospital Papar terutama progres pembinaan Hospital Papar yang baharu yang sepatutnya siap tahun lepas.
“Namun demikian, setakat ini hanya 22 peratus sahaja dapat dibina mengikut jadual pembinaan yang ditetapkan.
“Selepas ini, saya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadilah Yusof untuk membuat keputusan apakah langkah ke hadapan untuk menamatkan kontrak kepada kontraktor sedia ada,” katanya selepas mengadakan lawatan dan memantau progres pembinaan fasa kedua hospital itu di Sabah hari ini.
Pun begitu, Khairy berkata, sebelum memikirkan mengenai tindakan menamatkan kontrak kontraktor itu, pihaknya perlu membuat penilaian teliti terlebih dahulu apakah sebab kelewatan projek berkenaan.
Beliau memberi jaminan pihaknya akan membuat keputusan yang secepat mungkin mengenainya.
“Dari segi keperluan memang Papar memerlukan hospital yang kapasiti lebih besar kerana kalau kita lihat hospital sedia ada ia terlalu kecil untuk menampung kes-kes sedia ada dan atas sebab itulah pembinaan hospital baharu perlu disegerakan.
“Saya juga telah sempat melawat dewan pembedahan yang telah pun baru dibina, malangnya dewan pembedahan ini tak dapat digunakan ketika ini disebabkan pembinaannya yang tidak mengikut keperluan sebagai dewan pembedahan.
“Saya juga telah minta Ketua Setiausaha KKM untuk melihat dewan pembedahan yang ada di fasa hospital lama ini sama ada dapat diselamatkan atau tidak,” ujarnya.
Ahli Parlimen Rembau itu juga menegaskan pembinaan fasa baharu Hospital Papar adalah menelan kos berjumlah RM86 juta.
Ujarnya, jika pihaknya membuat keputusan untuk menamatkan kontrak projek berkenaan – KKM perlu perlu kembali merujuk semula kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul dan KKR untuk melihat semula peruntukan baharu ataupun peruntukan tambahan untuk projek berkenaan.- MalaysiaGazette