KUALA LUMPUR – Atlet para lompat jauh, Abdul Latif Romly memberitahu kecederaannya akibat tergelincir pada lompatan keempat dalam acara T20 dua hari lalu tidak serius.
Menurut penyumbang pingat emas ketiga negara itu, pada temasya sukan Paralimpik Tokyo 2020, kecederaan yang dialami itu hanya sementara namun masih menyukarkannya untuk berjalan.
“Ada koyakan berlaku di bahagian otot tapi rasanya akan pulih dalam sedikit masa lagi. Buat masa ini memang terasa sakit bila bergerak atau cuba berjalan,” katanya pada sidang media selepas tiba dengan berkerusi roda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang petang tadi.
Abdul Latif menyatakan dirinya tidak dapat menamatkan lompatan di temasya besar Paralimpik selepas terpaksa menarik diri pada lompatan kelima akibat kecederaan tersebut.
Sejurus selesai menjalani tempoh kuarantin, atlet berusia 24 tahun itu berhasrat terus pulang ke Perlis bagi menemui keluarganya yang sekian lama tidak bersua.
Beliau turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih atas sokongan jitu rakyat Malaysia selain keluarga dan juga agensi sukan yang terbabit dalam menjayakan misinya memburu pingat pada temasya yang berakhir semalam.
Abdul Latif merupakan atlet negara pertama berjaya memenangi imbuhan terbesar bagi atlet negara iaitu sebanyak dua kali selepas merangkul pingat emas di sukan Paralimpik Rio 2016 dan Tokyo 2020 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM). – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: