Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari perlu meletakkan jawatan kerana gagal mengambil tindakan ke atas Sarawak Report yang mendakwa Sultan Selangor memiliki sebuah syarikat pemaju untuk membangunkan hutan simpan Kuala Langat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, meskipun Raja Muda Selangor telah menafikan perkata itu, namun masih tiada tindakan tegas diambil terhadap portal kontroversi itu.

“Menteri Besar seharusnya bertanggungjawab dan mengambil tindakan kepada Sarawak Report yang telah mencemarkan nama baik Raja-Raja Melayu.

“Hal ini menjadi persoalan mengapa masih belum ada apa-apa kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar.

“Jika Menteri Besar terus berdiam diri, beliau perlu meletakkan jawatan segera kerana ternyata beliau tidak layak untuk memimpin Selangor Darul Ehsan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rabu lalu, Sarawak Report menerusi satu artikelnya bertajuk Sultan Selangor Owned Kuala Langat Grab Land Company mendedahkan pembabitan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sutlan Idris Shah dalam memiliki syarikat pemaju Titian Jutaria Sdn Bhd.

Isnin lalu, rakyat Selangor dikejutkan dengan pendedahan bahawa Kerajaan Negeri Selangor telah memindahkan separuh daripada Hutan Simpan Kuala Langat Utara kepada sebuah syarikat swasta.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memutuskan hal itu pada 5 Mei lalu, tetapi hanya didedahkan tiga bulan kemudian semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Sidang DUN dimaklumkan Gabungan Indah Sdn Bhd diberikan hak untuk membangunkan sebahagian kawasan hutan paya gambut itu bagi tujuan projek pembangunan bercampur.

Bagaimanapun dua syarikat iaitu Titian Jutaria Sdn Bhd dan Menteri Besar Incorporated (MBI) – kemudiannya didedahkan sebagai pemaju yang dicadangkan.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Idris Shah merupakan antara pengarah Titian Jutaria manakala MBI adalah syarikat milik kerajaan negeri dan dipengerusikan Menteri Besar Selangor.

Dalam pada itu, Menteri Besar perlu bertanggungjawab terhadap keputusan Kerajaan Negeri Selangor yang menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat untuk tujuan pembangunan.

“Sebarang keputusan oleh Kerajaan Negeri Selangor mestilah mengambil kira akan kepentingan rakyat Selangor dan memberikan kesan baik kepada alam semulajadi.

“Menteri Besar perlu bertanggungjawab di atas perkara ini selari dengan sumpah yang telah diucapkan oleh beliau di hadapan DYMM Sultan Selangor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. MANA mungkin letak jawatan….WPUN juara COVID 19 bERbulan2…SELANGOR yang GAGAL tetapi KAYA …tidak akan buat demikian kerana SIFUnya PUN begitu…wlpun salah atau memburuk mereka tetap SUCI….yang penting pihak lain GAGAL dan letak jawatan

Comments are closed.