KUALA LUMPUR – Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor mencadangkan agar sesi persekolahan sepatutnya dibuka pada tahun depan.
Ini kerana kes harian Covid-19 masih tinggi iaitu anggaran 20,000 sehari ketika ini.
Malah kata beliau, kes harian itu tidak menunjukkan penurunan dan pada masa sama hanya guru telah divaksin akan dibenarkan bersemuka dengan pelajar.
“Menteri kata sekolah akan dibuka bulan Oktober ni. Kes masih 20K setiap hari. Tak nampak berkurangan dalam masa terdekat. Hanya guru yang telah divaksin boleh bersemuka dengan pelajar .
“Namun itu tak bermakna sebab sesiapa saja boleh dijangkiti walaupun telah divaksin .
Patutkah Ibubapa risau? Hujung tahun tinggal beberapa bulan sahaja lagi.
“Lebih baik buka sekolah tahun 2022. Dengan harapan kes menurun dan perbaiki kaedah PDPR. Anak anak imuniti rendah.
“Jangkitan Covid merebak begitu mudah. Lebih lebih lagi pelajar sekolah. Walaupun mengikut SOP. Planning yang cukup pasrah,” tulisnya di hantaran Facebook miliknya.
Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin mengesahkan sesi persekolahan secara bersemuka akan tetap dilaksanakan pada 3 Oktober ini.
Bagaimanapun, jelas beliau, sesi berkenaan tidak akan melibatkan negeri-negeri yang masih berada di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Untuk rekod, negeri-negeri yang masih berada dalam Fasa 1 PPN ialah Kedah, Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Menurut Radzi, dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkan pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka terlalu lambat adalah tidak tepat.
Sebaliknya, tegas beliau, keputusan membuka sesi sekolah bermula 3 Oktober dibuat berdasarkan penelitian lanjut yang dibuat selain mengambil kira pertimbangan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Radzi berkata, beberapa prosedur operasi standard (SOP) berkaitan sesi persekolahan juga akan diperketatkan. – MalaysiaGazette
Betul tu …… dari kejap buka, kejap tutup, baik biar sempurna semua dah divaksin baru buka pada 2022