Ahmad Fadzil Abdul Majid

SHAH ALAM – Kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) tidak ada kena mengena dengan penempatan masyarakat Orang Asli Temuan seperti yang didakwa oleh pihak tertentu minggu lalu.

Pengarah Jabatan Perhutanan Selangor, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid yang berkata, kawasan HSKLU itu bukan penempatan warisan turun temurun masyarakat Orang Asli itu.

Kata beliau, perkampungan Orang Asli adalah di luar kawasan HSKLU.

“Dari rekod dan semakan dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengesahkan tiada rizab tanah Orang Asli di kawasan tersebut.

“Mereka telah dipindahkan lebih 20 tahun lalu dari Sepang bagi membolehkan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan dijanjikan penempatan baharu seluas 1,000 ekar.

“Setakat ini, masyarakat Orang Asli diberi tanah lebih 850 ekar untuk penempatan, manakala baki dalam 100 ekar lebih lagi akan diberikan sebaik proses penyahwartaan HSKLU selesai,” katanya sebagaimana dilaporkan SelangorKini.

Jumaat lalu, beberapa NGO ketika menyerahkan memorandum bantahan terhadap penyahwartaan HSKLU di Shah Alam mendakwa, terdapat sembilan kampung masyarakat Orang Asli Temuan dengan lebih 1,000 ahli keluarga menetap di sekitar hutan tersebut.

Kata NGO berkenaan, hutan itu merupakan kawasan punca pencarian rezeki dan tempat untuk mereka mencari hasil hutan, binatang buruan kecil, ubat-ubatan dan pucuk ulam-ulaman untuk hidup.

Dalam pada itu, Ahmad Fadzil turut menyangkal dakwaan kononnya terdapat banyak kubur Orang Asli di HSKLU.

Ujar beliau, daripada siasatan yang dilakukan terdapat satu kubur sahaja selepas mereka berpindah ke kawasan lain.

Beliau turut menyeru mana-mana NGO atau aktivis alam sekitar agar bersikap terbuka dalam isu penyahwartaan HSKLU.

“Saya faham NGO mempertahankan hak Orang Asli, tetapi adakah kita tidak hendak melihat Orang Asli ikuti arus pembangunan?

“Langkah diambil kerajaan negeri telah banyak membawa arus pembangunan kepada masyarakat Orang Asli,” katanya.

Difahamkan, kebakaran sering berlaku sehingga mengalami kemerosotan nilai kepelbagaian flora dan fauna di HSKLU serta diganti dengan tiga kawasan hutan simpan yang lebih baik di daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Hulu Langat.

Kerajaan negeri juga meluluskan lebih kurang separuh sahaja nyahwarta HSKLU setelah mendapat maklum balas orang ramai dalam penyiasatan awam yang mengambil masa lebih setahun.

Bahkan, kawasan penempatan Orang Asli di Busut Baru tidak terjejas dengan nyahwarta tersebut, tetapi keputusan itu sedang disemak semula oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette