Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang kerani sanggup melakukan jenayah pecah amanah dengan memindahkan wang milik syarikat ke dalam akaun peribadinya semasa ketiadaan majikannya di pejabat.

Wanita berkenaan disyaki melakukannya secara berperingkat melibatkan nilai wang sebanyak RM4 juta.

Bagaimanapun pemilik syarikat berkenaan yang sebeum itu bercuti sakit selama 30 bulan menghidu perbuatan suspek yang merupakan pemegang tunggal akses ke akaun syarikat sejurus kembali bekerja baru-baru ini dan menyedari wang dalam akaun syarikat semakin berkurangan.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku di Taman Dagang Permai pada November 2020.

Katanya, pengadu seorang pengarah syarikat pembinaan mendapati wang milik syarikatnya diambil oleh seorang wanita yang merupakan pekerjanya.

“Suspek memegang jawatan sebagai eksekutif sumber manusia dan pembantu akaun di syarikat itu dan pengadu menyedari wang syarikatnya semakin berkurangan di dalam akaun dan mengesyaki ia perbuatan keraninya.

“Malah semakan pengadu mendapati, beberapa transaksi telah dilakukan oleh suspek ke dalam akaun peribadi miliknya secara berperingkat dalam anggaran RM4 juta.

“Suspek mempunyai akses ke atas akaun bank milik syarikat kerana pengadu telah cuti sakit sejak Januari 2018 hingga Jun 2020 dan tiada individu lain yang boleh akses wang tersebut kecuali suspek seorang sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, bertindak atas aduan, polis membuat tangkapan ke atas suspek wanita itu pada Isnin lalu.

Hasil siasatan mendapati suspek menggunakan dua akaun bank RHB miliknya dan melakukan jenayah pecah amanah dengan memindahkan wang syarikat secara berperingkat ke akaun peribadinya.

“Suspek telah direman selama empat hari sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh minimum setahun dan tidak lebih dari 14 tahun dan dengan sebat dan hendaklah juga dikenakan denda.

“Kes masih di dalam siasatan pihak polis untuk dilengkapkan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan tindakan lanjut,” tegasnya.- MalaysiaGazette