Pengasas Big Blue Taxi Services, Datuk Shamsubahrin Ismail akan didakwa atas 3 pertuduhan menerima rasuah ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 07 SEPTEMBER 2021.

SHAH ALAM – Pengasas dan pemilik syarikat teksi, Big Blue Taxi Services didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima suapan pada Mac tahun ini.

Tertuduh, Datuk Shamsubahrin Ismail, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh meminta suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM15,000 daripada seorang individu di Jalan Perindustrian Suntracks, Bandar Baru Bangi, pada 3 Mac 2021.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh meminta suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM35,000 daripada individu di Jalan Perindustrian Suntracks, Bandar Baru Bangi, pada 7 Mac 2021.

Manakala pertuduhan ketiga pula, tertuduh menerima secara rasuah daripada seorang individu suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM35,000 di Seksyen U8, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor, pada 21 Mac 2021.

Kesemua tiga pertuduhan meminta dan menerima suatu suapan itu sebagai dorongan bagi menyelesaikan kes individu tersebut di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, Hakim Rozilah membatalkan waran tangkap ke atas pemilik syarikat teksi tersebut selepas berpuas hati mendengar penjelasan tertuduh yang gagal hadir ke Mahkamah Sesyen di sini pada 25 Ogos lalu untuk pertuduhan.

Perintah itu dikeluarkan selepas tertuduh menyerah diri ke Mahkamah Sesyen di sini untuk pendakwaan dan mengemukakan laporan perubatan terkini kepada mahkamah, hari ini.

Kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab Wahab.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan bagi ketiga-tiga pertuduhan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dengan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat, setiap bulan.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili barisan peguam, Muhammad Noor Azfar Noor Azmi, Zarina Ismail dan Datuk Shaharudin Ali memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya mempunyai jaminan kes lain di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berjumlah RM18,000 sebelum ini.

Setelah mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Rozilah membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat, setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 8 Oktober 2021 sebagai tarikh sebutan dan pengurusan kes itu. – MalaysiaGazette