Muhammad Nur Aiman Basuni (kiri) dan Siti Nabilah Mohamad Isa.

KUALA LUMPUR – Pengasas Nasi Kukus Tonggek (NKT) mengakui emosinya telah terganggu gara-gara fitnah yang dibuat salah seorang bekas pemegang lesen NKT yang menuduhnya sebagai penipu atau scammer.

Muhammad Nur Aiman Basuni yang juga Presiden NKT Group Sdn. Bhd. (NKT Group) berkata, perasaan itu bertambah rungsing apabila memikirkan keadaan isterinya yang juga naib presiden syarikat  sedang hamil.

Namun jelas beliau, isteri, Siti Nabilah Mohamad Isa tidak terkesan dengan tuduhan yang dibuat di media sosial itu.

“Saya difitnah sebagai scammer sedalah isu berpunca daripada bekas pemegang lesen yang berdepan masalah yang dihadapi oleh pihaknya sendiri.

“Ini kerana cawangan NKT di AEON Kota Bharu di Kelantan tidak mencapai jualan yang diharapkan sedangkan beliau melanggar perjanjian dengan tidak mengikuti kempen promosi yang dijalankan ibu pejabat syarikat sebelum ini.

“Selain itu, cawangan keduanya di Setia Alam, Selangor pula tidak dapat dibuka sejak akhir tahun lalu bukan disebabkan kegagalan kami kerana bekas pemegang lesen yang berurusan dengan penyewa tapak yang tidak dapat menjalankan kerja-kerja pengubahan suaian akibat berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini,” katanya.

Nasi Kukus Tonggek kini memiliki 26 cawangan dengan 17 cawangan diuruskan oleh pemegang lesen dan baki oleh syarikat sendiri.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya bersama Siti Nur Nabilah di sini hari ini.

Turut hadir peguam yang mewakili NKT Group iaitu Datuk Adnan Seman.

Semalam, NKT Group menfailkan saman terhadap bekas pemegang lesen NKT iaitu Muhammad Afiq Faisal Shamshuri dan Nur Hazreen Mohd. Ramzi di Mahkamah Tinggi Shah Alam menerusi firma guaman Tetuan Adnan Sharida & Associates gara-gara  mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah di media sosial.

Sementara itu, NKT kini memiliki 26 cawangan dengan 17 cawangan diuruskan oleh pemegang lesen dan baki oleh syarikat sendiri.

Muhammad Nur Aiman turut mempersoalkan bagaimana beliau boleh dituduh seorang penipu sedangkan berada di pejabat setiap hari untuk menguruskan stok-stok barangan pemegang lesen.

Malah beliau juga kecewa apabila dituduh menyebabkan kerugian sebanyak RM12,000 terhadap pemegang lesen lain.

“Kalau betul kami scammer kerana saya masih berada di sini. Boleh tanya sesiapa yang ambil barang di pejabat setiap hari.

“Saya berada di pejabat dan bermesyuarat setiap hari untuk merangka kempen promosi untuk meningkatkan jualan.

“Kalau betul saya penipu, kenapa ada pemegang lesen yang tambah cawangan mereka. Saya memerah otak dan keringat untuk menaikkan jualan NKT namun dituduh dengan dakwaan tidak berasas.

“Lebih teruk, kami dituduh sebagai penunggang agama dan isteri saya juga difitnah ada ilmu ‘baca-baca’,” katanya.

Muhammad Nur Aiman berkata, tujuan pihaknya menfailkan sama adalah semata-mata untuk menjaga dan membersihkan nama baik jenama NKT dan memelihara kepentingan pemegang-pemegang lesen yang lain.

“Cawangan yang  menjalankan perniagaan atas jenama NKT sama-sama terkesan dengan fitnah yang telah disebarkan dan menjadi tanggungjawab kami untuk menjaga kepentingan bersama dan menghilangkan kerisauan mereka yang bersama berniaga dengan jenama ini dan merupakan periuk nasi mereka,” katanya.

Sementara itu, Adnan memberitahu, saman fitnah difailkan kerana fitnah yang dibuat di media sosial.

Jelas beliau, pelanggaran kontrak jelas berlaku oleh bekas pemegang lesen yang membuat dakwaan tidak berasas selain tidak mengikuti kempen promosi yang dijalankan oleh NKT Group.

“Kami tidak meletak jumlah nilai ganti rugi dan akan membiarkan kepada mahkamah untuk menentukan,” katanya.

Dalam writ saman itu, defendan kedua Nur Hazreen dituntut membayar gantirugi am, teruk dan pengajaran kepadanya atas kenyataan-kenyataan terhadap NKT Group.

Nur Hazreen juga dihalang daripada mengulangi, menerbitkan, ‘republishing’, mencetak, menyebabkannya diulangi/diterbitkan atau menyiarkan sebarang kenyataan fitnah tentang plaintif-Plaintif, atau apa-apa pernyataan yang serupa, dalam apa-apa bentuk, atau medium, dalam apa-apa bahasa, kepada mana-mana orang, organisasi atau pihak, dalam apa-apa forum dan/atau dalam apa-apa suratkhabar, pamphlet, risalah, buku, majalah, media sosial, atau dokumen dalam apa cara pun;

Defendan kedua juga diarahkan untuk membuang dan atau memadam siaran kenyataan-kenyataan fitnah di dalam akaun Facebook miliknya iaitu “Reen Ramzi”; akaun Instagram miliknya iaitu “@reenramzi”; yang bertajuk “Kepala Bana” dan “Kepala Bana 2” dan Instastory di dalam highlights tersebut yang dimuatnaik di Instagram defendan kedua; akaun Twitter defendan kedua iaitu “ReenRamzi” dan di mana-mana siaran lain, pada apa-apa medium mengenai kenyataafitnah tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast