Anggota tentera membuat persiapan di kawasan yang akan ditamatkan PKPD di Sabah.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Hanya dua lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu mulai 9 hingga 22 September ini, kata Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md. Saad.

Beliau berkata, lokaliti itu ialah Kampung Sugian Baru di Tenom dan Kampung Rapak di Ranau, Sabah.

Sementara itu, kata beliau, satu lokaliti dilanjutkan tempoh PKPD sehingga 22 September ini, iaitu Kampung Rampayan Laut di Kota Belud, Sabah.

Rodzi Md. Saad

Namun begitu, sebanyak 24 lokaliti iaitu tiga di Kelantan dan lima Pahang, selebihnya di Sabah yang akan ditamatkan mulai esok.

Di Kelantan, tiga lokaliti itu ialah Kampung Gerong dalam Mukim Sungai Pinang, Kampung Baru Nelayan dalam Mukim Tumpat dan Kampung Talak dalam Mukim Jal Besar.

Di Pahang, lima lokaliti yang tamat esok ialah Kampung Sungai Kabut, Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Chohong dalam Perkampungan Orang Asli di Ulu Telom, Cameron Highands.

Dua lagi ialah Kampung Batu Papan dan Kampung Batu Papan Tengah di Bera, Pahang.

Di Sabah pula, sebanyak 16 lokaliti akan tamat PKPD juga bermula esok ialah Kampung Gudon, Menggatal dan Kampung Lobou di Kota Kinabalu; Kampung Tengah di Kinarut, Papar; Kampung Timbua-Kembiroi-Lobou Baru di Ranau.

Dua lokaliti di Tawau ialah Kampung Sentosa Blok 4 dan Batu 2, Lorong Saddani, diikuti Kuarters Kilang Mee Tien Hock di Penampang dan Taman Sri Panglima di Beaufort, Sabah.

Turut ditamatkan ialah enam kampung di Tuaran, iaitu Kampung Betutai, Kampung Bontoi, Kampung Kindu, Taman Sri Rugading, Taman Telipok Ria dan Kampung Serusop.

Dua lokaliti lagi ialah Kampung Brunei, Membakut, Beaufort dan Taman Puri Warisan, Kota Kinabalu, Sabah.

Penamatan PKPD itu dipersetujui kerajaan selepas meneliti pembentangan oleh KKM mengenai situasi semasa Covid-19 di lokaliti berkenaan. – MalaysiaGazette