JOHOR BAHRU – Tiga penjawat awam antara 17 individu yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan ketum.
Polis juga merampas lebih setengah tan daun ketum menerusi tujuh serbuan berasingan di beberapa daerah di negeri itu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya juga berjaya menumpaskan tiga sindiket berlainan hasil risikan selama sebulan sejak 27 OgosĀ hingga 4 September lalu.
Serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah telah membuat serbuan di Kota Tinggi, Kulai, Iskandar Puteri, Johor Bahru dan Tangkak.
“Selain itu kita juga dapati mereka ini turut menggunakan gudang dan rumah sebagai lokasi pemprosesan.
“Kegiatan ini menjadi popular sejak kebelakangan ini susulan harga pasaran ketum yang tinggi dan permintaan meningkat iaitu pada harga semasa daun ketum antara RM30 hingga RM80 sekilogram (kg),” kata Ayob Khan pada sidang media di sini hari ini.
Rampasan membabitkan 542.73 kg daun ketum bernilai RM5,427.30 dan 300.80 liter air ketum bernilai RM3,008 dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah RM8,435.30.
Ayob Khan berkata, rampasan keseluruhan daun dan air ketum itu boleh digunakan oleh seramai 11,155 pengguna.
Hasil saringan awal air kencing mendapati, dua daripada mereka yang ditahan positif dadah jenis methamphetamin selain tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Kesemua suspek termasuk seorang wanita warga Indonesia berusia antara 20 hingga 56 tahun direman antara tiga hingga tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – MalaysiaGazette