Wakil peguam dan Penyelaras MHO Sabah Kapten (B) Jerry Jaimeh bersama pasangan suami isteri yang ditahan selepas selesai vaksin dos kedua di Sabah Isnin lepas.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) memohon pihak berkuasa untuk menyiasat tentang insiden pasangan suami isteri warga asing ditahan selepas pulang dari pusat vaksinasi di negeri ini.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, pasangan ini yang merupakan warga Indonesia nekad keluar walaupun pasport telah tamat tempoh kerana kerajaan sudah mengumumkan tidak menangkap atau menahan mana-mana individu warga asing yang hendak melakukan vaksinasi.

“Jadi saya tidak faham di sini, mengapa pasangan ini yang sudah tamat tempoh pasport masih boleh ditahan walaupun mereka hanya keluar untuk mendapatkan vaksin dos kedua mereka di Pusat Vaksin di Sabah.

“Menurut keterangan pengadu, mereka di tahan ketika berhenti seketika di sebuah jalan lampu isyarat ketika dokumen mereka diperiksa.

“Mereka memberitahu polis bahawa pasport sudah tamat tempoh namun tidak diendah,” dedah Hishamuddin kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

Hishamuddin turut mendakwa warga asing itu diminta membuat bayaran sejumlah wang.

“Mengapa kejadian ini boleh berlaku sebenarnya?

“Pasangan ini telah menghubungi nombor hotline MHO untuk memohon bantuan, wakil panel peguam dan Penyelaras MHO Sabah Kapten (B) Jerry Jaimeh telah hadir di Balai Polis Penampang sebelum mereka dibebaskan,” ujar beliau.

Rentetan kejadian itu, beliau memohon satu siasatan menyeluruh berhubung insiden ini secepat mungkin.

Ini kerana, dakwa beliau, mangsa berasa trauma selepas kejadian itu.

Tegasnya, MHO akan terus membela mangsa seperti ini dan juga akan terus bekerjsama dengan kerajaan membanteras ketidakadilan seperti ini. – MalaysiaGazette