Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan disaran segera mengeluarkan jaminan untuk tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) selagi mereka masih berkuasa.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, mereka juga harus sanggup untuk hilang kuasa jika membuat keputusan tidak mengiktrafnya.

“Jangan hanya kerana mahu kekal kuasa politik, prinsip digadai begitu sahaja. Ini bukan setakat perihal prinsip tetapi mengiktiraf UEC adalah satu pengkhianatan terhadap anak cucu, nenek moyang kita, sistem pendidikan dan keharmonian negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Aminuddin berkata, beliau terkejut setelah terbaca mengenai berita yang mana kerajaan dikatakan bakal mengiktiraf UEC bagi mendapatkan sokongan undi percaya daripada pihak pembangkang.

Katanya, untuk kekal berkuasa persetujuan dibuat menerusi ‘Confidence & Supply Agreement (CSA)’ dan perkara itu adalah amat mengejutkan.

Bagaimanapun katanya, jika difikirkan semula, ia bukanlah suatu yang pelik jika perkara itu benar sekalipun.

Ini kerana katanya, agenda mengiktiraf UEC yang dikelola oleh Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) itu bukan suatu yang asing buat UMNO.

Beliau mendakwa, agenda itu sememangnya telah diletakkan sebagai antara janji manifesto Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya yang lalu jika berjaya berkuasa menjadi kerajaan.

“Tetapi tidak sangkalah pula mereka akan menepati janji ini sungguh kerana janji-janji lain untuk agama dan bangsa banyak lagi yang tidak terlaksana pun.

“Lagipun, pembangkang pun pasti tahu yang mereka tidak akan berjaya merampas tampuk pimpinan dengan permainan ‘nombor’ ini.

“Mereka pun sudah cuba banyak kali sebelum ini namun gagal. Malah, sekiranya mereka berjaya merampas sekalipun, mereka tidak akan memerintah lama kerana pilihan raya sepatutnya pada tahun hadapan dan pastinya kerajaan itu juga tidak stabil,” tambahnya.

Justeru katanya, sudah tentu keadaan tersebut dilihat tidak menguntungkan pembangkang, malah mereka terpaksa menanggung beban yang sangat berat bagi memulihkan ekonomi pasca Covid-19.

Sehubungan itu, Aminuddin berkata, menekan kerajaan untuk merealisasikan agenda-agenda mereka adalah sesuatu yang licik dan ‘bijak’ bagi politik mereka.

“Mempergunakan kebuntuan politikus Melayu untuk menjadi kambing hitam demi agenda mereka bukanlah suatu yang baharu. Janganlah terjerat dengan taktik ‘Melayu Screw Melayu,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast