Dua tertuduh, seorang penjawat awam dan seorang lagi orang awam direman 3mpat hari sehingga Isnin bagi siasatan kes rasuah melibatkan wang suapan berjumlah RM18,000 ketika di bawa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Sesyen, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 10 SEPTEMBER 2021.

SHAH ALAM – Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini mengeluarkan perintah reman empat hari sehingga Isnin ini ke atas dua individu untuk membantu siasatan kes rasuah melibatkan wang suapan berjumlah RM18,000.

Permohonan reman itu dimohon Penolong Kanan Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Mohd Ihsan Anuar pagi ini terhadap seorang penjawat awam berpangkat pengurus dan seorang orang awam.

Kedua-dua suspek yang digari dan memakai baju lokap SPRM dibawa ke mahkamah kira-kira jam 9.45 pagi oleh beberapa anggota penguatkuasa SPRM.

Kedua-duanya yang dalam keadaan sihat dan bebas dari gejala Covid-19, membuat rayuan kepada mahkamah agar tempoh tahanan reman dipendekkan.

Penjawat awam berusia 54 tahun memberi alasan sedang membuat persiapan anaknya yang akan melanjutkan pelajaran di Jerman, manakala seorang lagi suspek berusia 51 tahun terpaksa menjaga ibunya yang menghidap sawan.

Mahkamah kemudian menetapkan tempoh reman bermula hari ini hingga Isnin.

Mohd Ihsan memohon tempoh reman satu minggu kerana suspek ditahan kira-kira jam 3 petang semalam di pejabat SPRM Selangor untuk tujuan siasatan, termasuk sedang mencari beberapa pihak yang mempunyai kaitan dengan rasuah itu.

Kes disiasat bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette