KAJANG – “Saya rindu hendak berjalan semula. Doa saya cuma hendak sihat balik,” itu luahan Nurzahra Alya Mohd. Asril yang berusia 15 tahun.
Siapa sangka, sebelum ini, dia merupakan remaja periang dan aktif di sekolah di samping berbakat dalam bidang nyanyian dan mula berjinak-jinak dalam dunia peragaan.
Namun pada Mac lalu, anak sulung daripada tiga beradik itu secara tiba-tiba diserang sesak nafas sehingga dimasukkan ke Hospital Kajang.
Lebih malang, akibat degupan jantung yang laju, Nurzahra dikomakan selama lima hari sepanjang seminggu mendapat rawatan di sana.
Tersedar daripada koma, bermulalah dunia baharu buat Nurzahra. Dia lumpuh dan tidak boleh berjalan seperti. Ke mana-mana untuk bergerak, dia akan diangkat oleh ibunya, Zuraina Abdul Aziz.
Malah berat badannya sebelum ini adalah 37 kilogram (kg) turun mendadak sehingga 24 kg.
“Pada awalnya doktor tidak dapat kesan apa penyakit Zahra namun sebulan selepas rawatan susulan, keputusan ujian darah menunjukkan kencing manis tahap satu.
“Sejak tidak boleh berjalan saya yang angkat Zahra ke mana-mana kerana dia tidak boleh uruskan diri dia sendiri. Lagipun saya tidak ada kerusi roda. Sehinggalah tiga minggu lepas, Zahra sudah boleh dipimpin untuk berjalan perlahan-lahan.
“Saya ada juga merujuk kepada doktor hospita swasta dan keputusan hasil ujian rambut Zahra menunjukan dia mengalami penyakit saraf akibat sisa metal toksik yang mungkin sisa daripada tampalan gigi sebelum ini,” katanya ketika ditemui di rumah di Sungai Balak Dalam di sini semalam.
Zuraina yang merupakan ibu tunggal sejak tahun 2012 turut memiliki dua lagi anak lelaki yang berusia 13 dan 10 tahun.
Jelas wanita berusia 43 tahun itu, dia kini buntu untuk menanggung kos ubatan Nurzahra sebanyak RM500 sebulan kerana telah berhenti kerja sejak Mac lalu untuk menjaga anaknya itu.
Kata bekas kerani itu, dia juga menanggung yuran tuisyen anak kedua sebanyak RM160 sebulan kerana tidak memiliki laptop dan desktop untuk sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akibat aplikasi telefon bimbit yang rendah.
“Saya hanya bergantung dengan hidup dengan wang KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) yang boleh dikeluarkan sebelum ini sebanyak RM15,000 menerusi i-Lestari dan i-Sinar.
“Jumlah yang tinggal mungkin boleh bertahan selama dua bulan lagi. Nurzahra pula kena pantang banyak menu seperti gandum dan bijirin serta hanya boleh makan beras perang sahaja. Kalau saya dan anak-anak lain, kalau tidak ada makanan, kami boleh makan nasi goreng.
“Namun saya bersyukur dan berterima kasih kerana Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang turut memberi bantuan RM400 sebulan dan menanggus kos 13 sesi rawatan hidrobariatik berjumlah RM7,200,” katanya yang turut memberitahu LZS turut membina rumahnya yang diduduki sekarang bernilai RM50,000.
Tambah Zuraina, banyak kelengkapan di dalam rumah yang didiami itu adalah hasil pemberian orang ramai yang pada mulanya mereka hendak membuang barangan tersebut.
Antaranya kata wanita itu adalah meja makan dan sofa yang dimiliki secara percuma.
“Sofa ada orang hendak buang, saya PM (mesej peribadi) minta. Dia suruh datang ambik sendiri dan guna kenderaan sendiri. Meja makan pun orang tidak mahu sebab beli meja makan baru. Saya ambil sahaja,” katanya.
Mengulas tentang penceraiannya, Zuraina memberitahu dia diceraikan sehelai sepinggang ketika anak bongsu berusia lapan bulan.
Sejak daripada itu, dia tidak pernah berhubung dengan bekas suaminya dan tidak pernah menerima nafkah.
Namun apa yang menyedihkan, pinjaman kereta di bank atas namanya dan diguna bekas suami sebelum kereta itu telah dijual kepada orang lain.
Tetapi gara-gara individu tidak membayar ansuran bulanan itu, bank sering menelefonnya untuk menjelaskan baki hutang kenderaan itu.
Sementara mereka yang ingin bertanya khabar atau memberi sumbangan kepada Zuraina dan keluarga, boleh menghubungi talian +6019-7565261.
Sumbangan pula boleh disalurkan kepada nombor akaun Bank Islam – 12092022942451 (Zuraina Abdul Aziz). – MalaysiaGazette