Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Maslan mengemukakan 20 cadangan Parlimen yang akan diperjuangkan jika berjaya dalam pemilihan jawatan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada hari Selasa ini.

Beliau bersaing dengan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, jika Kor Ming mengemukakan 10 reformasi Parlimen, beliau pula menawarkan 20 transformasi Parlimen.

Menjelaskan mengenai cadangan-cadangan tersebut, Ahmad berkata, beliau mencadangkan 222 Ahli Parlimen diberi seorang pegawai penyelidik supaya setiap daripada mereka dapat berhujah dengan data dan fakta.

Menurutnya, Parlimen hari ini hanya mempunyai 15 orang pegawai penyelidik yang berkongsi.

“Kita ada ramai graduan yang menganggur, jadi kita boleh jadikan mereka sebagai penyelidik, dengan latihan dan sebagainya,” katanya dalam sesi Terus Terang UMNO Online.

Antara cadangan lain yang menarik ialah mewujudkan seorang lagi Timbalan Yang di-Pertua/Timbalan Speaker menjadikan tiga orang yang mana Timbalan Speaker ketiga dikhususkan untuk wakil Pembangkang. Sementara itu, satu daripada tiga Timbalan Speaker seeloknya daripada Sabah atau Sarawak.

“Sekarang ini dua orang, satu kosong, satu lagi Ahli Parlimen Batu Pahat. Saya cadangkan seorang lagi dalam kalangan pembangkang. Kalau ada pemilihan ini, wakil kerajaan tak boleh masuk.

“Kita kena pinda Perlembagaan dan peraturan mesyuarat. Saya rasa senang je dapat undi dua per tiga ini kerana nak bagi jawatan ini kepada pembangkang. Takkan pembangkang tak mahu,” ujarnya.

Oleh itu, Ahmad secara seloroh berkata: “Untuk jawatan ini (timbalan speaker), pembangkang jangan ambil dulu la, bagi pada saya. Apabila ada yang ketiga ambil la”, yang merujuk kepada pencabarnya, Nga Kor Ming.

Selain itu, beliau turut ucapan Ahli Parlimen untuk dasar penting diberikan sekurang-kurangnya 20-30 minit dan jika perlu tambahan sehingga ke sebelah malam bagi memenuhi keperluan 20 minit itu.

Perbahasan penting adalah seperti Usul Titah Menjunjung Kasih Diraja, Belanjawan, Pindaan Perlembagaan, Rancangan Malaysia, RUU baru seperti Akta Pendanaan Politik dan seumpamanya.

“Ketika Ahli Parlimen berbahas janganlah bagi lima minit, contoh ucapan penting seperti menjunjung kasih titah, rang undang-undang baharu, RMK.

“Kita perlu 20 hingga 30 minit dan kalau tak cukup bawa ke malam, tak mengapa,” tambahnya.

Mengulas cadangannya yang kesembilan iaitu rang undang-undang yang ingin dibentangkan hendaklah diberi minimum 5 hari kepada Ahli Parlimen sebelum Rang Undang-Undang itu dibahaskan dan bukannya sehari sebelumnya.

Katanya, Ahli Parlimen bukannya robot yang boleh hendak memikir dan menyelidik dalam masa singkat.

“Ini nampak satu kebiasaan di Parlimen dan ia tidak bagus. Debat dan perbahasan tidak berkualiti kerana tak sempat berbincang RUU itu. Lagi satu jangan hanya diberi taklimat kepada Ahli Parlimen kerajaan tetapi perlu juga Ahli Parlimen pembangkang.

Beliau turut mencadangkan supaya adab dan tatasusila yang tinggi dalam perbahasan agar imej Parlimen dihormati pada pandangan rakyat bagi mengelakkan Parlimen dianggap sebagai “sarkas ahli politik”.

Ini penting bagi pandangan rakyat.

“Kita tidak mahu Dewan Rakyat sebagai sarkas ahli politik. Kadang-kadang dalam keadaan stres orang tu bangun, orang ni kata begitu, begini. Maka berlaku ‘percakaran kecil’ yang ditonton oleh anak-anak kecil.

“Tak ramai (bercakar) tetapi bak kata media, jika anjing mengiggit orang, itu biasa. Kalau orang gigit anjing itu berita, jadi headlines. Jadi kita jangan jadikan Dewan Rakyat begitu. Macam dinding putih tapi orang akan tetap akan nampak titik hitam,” tambahnya.

Beliau melahirkan harapan 220 Ahli Parlimen akan menyokongnya pada hari Selasa ini.

“Saya rendah diri meminta rakan-rakan menyokong saya, lupakan kes mahkamah itu kerana innocent until proven guilty. Ada banyak proses yang perlu saya hadapi.

“Anggaplah saya belum bersalah, sehingga didapati bersalah. Semoga saya boleh berkhidmat dalam satu keadaan di mana pengalaman-pengalaman lepas saya boleh guna menambah baik,” ujarnya.

Sebanyak 20 cadangan penuh iaitu:

1. Menyediakan setiap Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan / Backbenchers dan Pembangkang seorang pegawai penyelidik bagi membantu membuat kajian
dasar, ucapan, soalan dan yang berkaitan dengan tugasan di Dewan Rakyat.

2. Mengemaskini Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat/Standing Orders agar lebih sesuai, terkini dan relevan dengan kehendak semasa.

3. Mewujudkan seorang lagi Timbalan Yang di-Pertua/ Timbalan Speaker menjadikan tiga orang yang mana Timbalan Speaker ke-tiga dikhususkan untuk
wakil Pembangkang. Sementara itu, satu daripada tiga Timbalan Speaker seeloknya daripada Sabah atau Sarawak.

4. Parlimen terlibat dengan aktif dalam memberi pendidikan demokrasi kepada seberapa ramai rakyat melalui seminar, wacana, pameran, dialog, lawatan dan
libat urus/engagement.

5. Mewujudkan Program Parlimen Pelajar untuk mereka yang di Tingkatan 4 hingga 6 bagi menambah kepada Program Parlimen Belia dan Parlimen Mahasiswa yang ada sekarang. Penglibatan Wanita adalah sangat digalakkan dalam ketiga-tiga Program Parlimen itu. Langkah ini sesuai dengan Undi18.

6. Melanjutkan masa persidangan yang rasmi antara 10.00 pagi hingga 5.30 petang kepada 10.00 pagi hingga 6.30 petang. Tambahan sejam ini adalah bagi
membolehkan Ahli Parlimen diberikan peluang masa yang cukup untuk berbahas. Ini tidak termasuk masa-masa tambahan hingga sebelah malam jika
diperlukan. Menambah Masa Pertanyaan Menteri (MQT) daripada 30 minit pada hari Selasa dan Khamis kepada 40 minit.

7. Memastikan minima 12-15 soalan lisan dapat dijawab dalam masa 120 minit sesi pertanyaan dengan had sekitar masa 8-10 minit untuk setiap soalan. Ini
bermakna sesi Pertanyaan Lisan ditambah daripada sejam setengah kepada dua jam.

8. Memastikan ucapan Ahli Parlimen untuk dasar penting diberikan sekurangkurangnya 20-30 minit dan jika perlu tambahan sehingga ke sebelah malam
bagi memenuhi keperluan 20 minit itu. Perbahasan penting adalah seperti Usul Titah Menjunjung Kasih Diraja, Belanjawan, Pindaan Perlembagaan, Rancangan Malaysia, RUU baru seperti Akta Pendanaan Politik dan seumpamanya.

9. Rang Undang-undang yang ingin dibentangkan hendaklah diberi minima 5 hari kepada Ahli Parlimen sebelum Rang Undang-Undang itu dibahaskan bagi
membolehkan Ahli Parlimen cukup masa untuk membuat kajian dengan syarat kerahsiaan dan Embargo diletakkan.

10.Memperuntukkan RM60,000.00 setahun dengan kiraan RM5,000.00 sebulan kepada Ahli Parlimen Pembangkang dan Ahli Parlimen Bebas untuk
menguruskan Pusat Khidmat di kawasan masing-masing. Peruntukan itu dianggar mencukupi untuk elaun dua staf dan sewa sebuah pejabat.

11.Mengadakan Hari Terbuka Kementerian secara berkala di Parlimen untuk Ahli Parlimen bertemu secara terus dengan Menteri, Timbalan Menteri, Ketua
Setiausaha Kementerian dan Ketua-ketua Pengarah dengan penjadualan yang tersusun pada setiap kali sesi sidang.

12.Sesi Kamar Khas perlu ditambah waktu dan diadakan pada setiap hari pada sebelah petang dengan membenarkan Ahli Parlimen bertanya soalan tambahan
dan disiarkan juga secara langsung oleh media perdana.

13.Mengadakan latihan pendedahan media sosial kepada Ahli Parlimen dan Kakitangan Ahli Parlimen dan juga latihan komunikasi, pengurusan,
antarabangsa serta ilmu terkini yang relevan dari masa ke semasa.

14.Menambah bilangan Jawatankuasa Pilihan Khas yang meliputi pendidikan, agama, sosial, pekerjaan, perumahan, indeks gaji, gejala sosial, bisnes online,
kesihatan, ekonomi, kewangan, pembangunan tanah, pelaburan, alam sekitar, mencari pendapatan baru kerajaan dan lain-lain yang sesuai.

15.Menyokong cadangan kerajaan untuk Transformasi Parlimen sebagaimana yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 10 September 2020, iaitu:-
i. Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen
ii. Pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik dalam tempoh terdekat. Justeru, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan
akan dibentangkan.
iii. Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
iv. Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.
v. Setiap Rang Undang-Undang termasuk RUU Perbekalan yang dibentangkan
di Parlimen akan dirunding dan dipersetujukan secara bersama.
vi. Ahli Parti Pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.
vii. Ketua Pembangkang diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri.

16. Setiap Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan / Backbenchers dan Pembangkang diberikan peruntukan khas untuk sesi Townhall/libat urus dengan rakyat dan
pemegang taruh di kawasan bagi mendapatkan pandangan untuk isu pembangunan, kebajikan rakyat dan Rang Undang-Undang baru.

17. Mencadangkan agar Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas diberi elaun kehadiran mesyuarat atau apa-apa elaun khas dengan jumlah yang kecil namun
munasabah dengan kekerapan mesyuarat yang sesuai.

18.Mencadangkan agar Sesi Dialog dengan rangkaian media arus perdana diadakan secara berkala melibatkan Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan/Backbenchers dan Pembangkang untuk memberikan pandangan mengenai isuisu semasa.

19. Meletakkan adab dan tatasusila yang tinggi dalam perbahasan agar imej Parlimen dihormati pada pandangan rakyat bagi mengelakkan Parlimen
dianggap sebagai “sarkas ahli politik”.

20.Menghidupkan kembali Akta Perkhidmatan Parlimen supaya Parlimen mempunyai autonomi daripada segi peruntukan, tanggungjawab, kebajikan
kakitangan dan perjawatan. – MalaysiaGazette