Bursa Malaysia
Logo Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Dagangan di Bursa Malaysia dijangka terus stabil dan bergerak dalam mod berhati-hati minggu depan memandangkan para pelabur masih lagi bimbang dengan kemunculan semula kes baharu COVID-19 serta impaknya ke atas ekonomi dan pendapatan syarikat.

Ketua Ekonomi Bank Islam Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras pasaran diunjur berlegar dalam jajaran sempit antara 1,575 dan 1,585 pada minggu mendatang.

‘’Namun begitu, amat menggembirakan terdapatnya beberapa belian bersih daripada dana asing sejak kebelakangan ini.

“Penilaian yang menarik, malah, pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 pada 27 Sept serta Bajet 2022 pada Oktober akan menarik pelabur asing memasuki Malaysia,” kata beliau kepada Bernama.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee pula berpendapat FBM KLCI akan kekal tersekat dalam mod penstabilan minggu depan selepas pergerakan rancak yang kecil pada lewat Ogos.

“Kami merasakan ketidakpastian dan kemudahruapan yang kian meruncing di Wall Street akan menyaksikan sentimen keseluruhan di pasaran serantau serta bursa tempatan akan lebih berhati-hati,” tambah beliau.

Yee menambah keputusan Bank Negara Malaysia untuk mengekalkan kadar dasar semalaman pada 1.75 peratus baru-baru ini dilihat sebagai pendahulu kepada kenaikan kadar faedah dalam bergerak ke hadapan, diikuti dengan ketidakpastian serantau, ini sudah pasti akan memberi kesan kepada bursa tempatan.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Thong Pak Leng pula berpendapat dengan penilaian saham Malaysia masih sangat murah berbanding dengan pasaran serantau, dana asing akan mengalir masuk, justeru, kegiatan membeli saham pada harga murah dijangka muncul minggu depan.

“Kami menasihatkan para pelabur untuk melihat pada tema pemulihan seperti pelancongan, permainan dan pengguna kerana saham-saham ini telah menyusut selepas mencatatkan lonjakan kerana kelemahan pasaran. Oleh itu, sebarang peningkatan boleh memberi peluang kepada pelabur,” jelasnya.

Berdasarkan perbandingan mingguan Jumaat-Jumaat, indeks penanda aras turun 13.22 mata untuk mengakhiri urus niaga minggu ini pada 1,575.97 daripada 1,589.19 sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas lemah 72.17 mata pada 11,522.81, Indeks FBMT 100 merosot 80.67 mata kepada 11,212.32, dan Indeks FBM Emas Syariah turun 80.55 mata kepada 12,614.20.

FBM 70 merosot 56.14 mata kepada 15,004.11 sementara FBM ACE menambah 3.32 mata kepada 7,255.10.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan jatuh 95.77 mata kepada 6,604.22, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 146.6 mata kepada 15,390.17 tetapi Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.98 mata kepada 200.90.

Indeks Penjagaan Kesihatan susut 101.27 mata kepada 2,697.29, Indeks Tenaga merosot 10.31 mata kepada 760.63 tetapi Indeks Teknologi naik 1.65 mata kepada 91.76.

Pada minggu urus niaga, jumlah dagangan mingguan mengukuh kepada 23.66 bilion unit bernilai RM14.69 bilion, daripada 17.65 bilion unit bernilai RM12.71 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 15.31 bilion saham bernilai RM12.89 bilion berbanding 12.24 bilion saham minggu lepas yang bernilai RM11.38 bilion.

Jumlah dagangan waran turut mengembang kepada 1.80 bilion unit bernilai RM272.84 juta berbanding 1.31 bilion unit bernilai RM182.24 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE menokok kepada 6.48 bilion saham bernilai RM1.52 bilion daripada 4.09 bilion saham bernilai RM1.14 bilion minggu lepas. – MalaysiaGazette