Khairy (kanan) pada sidang media di Komtar, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kementerian Kesihatan (KKM) dalam usaha memberikan sumbangan alat pengukur kadar oksigen atau oximeter kepada golongan berisiko di negara ini.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu diambil susulan daripada peningkatan jumlah golongan muda mengalami hipoksia (komplikasi kandungan oksigen rendah) tanpa sebarang gejala sekali gus menjadi pembunuh senyap.

Jelas beliau, negara turut menyaksikan peningkatan pesakit muda bagi kategori tiga dan lima.

“Melihat kepada peningkatan itu, kita akan usahakan bagi memberi alat oximeter kepada golongan berisiko tinggi.

“Saya telah minta akan segera laksanakan kiraan bajet bagi pemberian oximeter ini kepada keluarga yang memerlukan,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, pihak Pengurusan Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) akan meminta bacaan nadi dalam kawalan kendiri memandangkan antara tanda awal hipoksia adalah denyutan nadi yang tinggi.

“Kemerosotan kesihatan dalam tempoh 24 hingga 48 jam disebabkan hipoksia juga antara punca peningkatan kematian,” jelas beliau.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata, KKM juga menyokong sekiranya ada pihak yang mahu membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan (PKRC) Covid-19 swasta di hotel.

“Kita menyokong jika ada syarikat atau kilang yang mahu biayai PKRC swasta bagi kakitangan atau pekerja mereka yang menjalani kuarantin.

“Kita yakin dengan cara itu mungkin boleh menyumbang akses kemudahan kepada orang ramai,” kata Khairy. – MalaysiaGazette