Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Sri Aman, Mohamed Nawaz Koya menunjukkan surat permohonan untuk mendapatkan tarikh perjumpaan bagi perbincangan mengenai isu penyelenggaran yang dihadapai oleh penduduk di PPR Sri Aman, Jinjang Utara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 11 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Lebih 100 penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Aman, Jinjang Utara di sini merayu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk turun padang dan bersemuka dalam menyelesaikan isu penyelenggaran dan masalah struktur bangunan yang di hadapi sejak tahun 2017.

Antara masalah yang membelenggu sebahagian penduduk membabitkan kebocoran di common area, titisan air dari tingkat atas serta masalah saluran najis.

Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Sri Aman, Mohamed Nawaz Koya berkata, isu kebocoran dan kerosakan struktur bangunan yang dihadapi penduduk merupakan masalah berlanjutan yang dialami sejak beberapa tahun lalu selepas mereka berpindah masuk ke unit tersebut.

Menurutnya, pelbagai surat serta aduan telah dihantar kepada DBKL namun tidak mendapat respon seperti yang diharapkan.

“Ini merupakan sidang media kali kedua bersama Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran yang cuba membantu dalam isu ini. Ya, memang benar pihak DBKL ada datang ke sini namun hanya pergi ke sebuah rumah.

“Kami mahu penyelesaian secara menyeluruh dan bukannya hanya sebuah rumah sahaja. Kita dah hantar surat dan juga laporan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Bandar Kuala Lumpur serta ketua-ketua jabatan di DBKL namun tidak dilayan, mesyuarat pun tidak pernah dipanggil kerana alasan Covid-19.

“Bagaimana dengan nasib penduduk di sini yang perlu berhadapan dengan pelbagai masalah? Mereka itu tidak tahu kerana mereka bukannya duduk di sini.

“Setiap tahun penduduk akan cat rumah mereka kerana dinding menjadi kuning akibat kebocoran, ada juga yang sudah ‘fed up’ untuk buat aduan kepada pejabat di sini,” katanya dalam satu sidang media di PPR Sri Aman, Jinjang Utara hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Keadilan Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan.

Terdahulu P. Prabakaran bersama seorang pakar penyelenggaraan meninjau masalah kerosakan rumah yang dialami oleh penduduk di PPR berkenaan.

PPR Sri Aman terbahagi kepada empat blok dimana Blok A merupakan unit yang disewakan manakala Blok B, C dan D adalah unit yang dijual pada harga kira-kira RM35,000.

Kebanyakan penghuni merupakan bekas penduduk rumah panjang Jinjang Utara iaitu sebuah penempatan sementara yang dipindahkan ke unit-unit PPR Sri Aman.

Tambah Mohamed Nawaz, selain mengalami isu penyelenggaraan dan kerosakan struktur rumah, penduduk di PPR Sri Aman turut berdepan dengan masalah kerosakan lif dan pam air.

Sementara itu, menurut P. Prabakaran, KPKT seharusnya menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk memantau kualiti pembangunan terutamanya membabitkan rumah-rumah kos rendah dan sederhana di ibu negara.

P. Prabakaran bercakap pada sidang media mengenai isu penyelenggaraan yang dihadapi sesetengah penduduk di PPR Sri Aman, Jinjang Utara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 11 SEPTEMBER 2021.

Dalam masa sama, beliau turut memohon kepada DBKL untuk turun padang dan berbincang dengan wakil penduduk mengenai masalah yang dihadapi.

“Apa yang diberitahu pakar penyelenggaraan itu hanya pada pemerhatian awal dan tiada kesimpulan yang boleh dibuat mengenai masalah dihadapi penduduk kerana kita perlukan fakta di depan mata seperti dokumen-dokumen dan lukisan pembinaan.

“Sekarang ini, kita juga sedang siapkan memorandum dan akan buat janji  temu untuk jumpa menteri-menteri berkaitan serta pihak DBKL.

“Saya sendiri sudah hantar banyak surat kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, kita telah bertemu tapi tiada sebarang penyelesaian ibarat PPR ini telah dianak tirikan. Saya mohon kepada DBKL untuk jumpa dan berbincang, selesaikan masalah ini sebelum ia menjadi lebih parah,” ujarnya.

Jelas P. Prabakaran lagi, beliau juga akan membangkitkan isu berkenaan menerusi sesi sidang Parlimen akan datang sebagai usaha mencari solusi kepada masalah yang membelenggu penduduk PPR.

“Saya juga akan bangkitkan isu ini dalam Parlimen, saya akan minta pelan pembangunan PPR Sri Aman dan PPR lain untuk kita buat perbandingan dan lihat apa masalahnya termasuk pakar penyelenggara juga akan teliti pelan tersebut sebelum kita dapat selesaikan. Kita kena tengok pelbagai dokumen dan kontrak supaya kita boleh buat satu tindakan secara sah,” katanya. – MalaysiaGazette