KUALA LUMPUR – Isteri-isteri anggota tentera yang tidak bekerja akan dibekalkan dengan kemahiran bagi membantu mereka menjana pendapatan tambahan.
Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, pelbagai cabang kemahiran yang boleh diberikan antaranya mengusahakan perniagaan dalam talian yang mampu memberi manfaat jangka panjang terutamanya selepas suami mereka bersara.
“Kita pun melihat isteri-isteri tentera ini, kalau kita beri mereka kemahiran di mana mereka dapat tambah baik pendapatan dengan berniaga secara online sama ada makanan atau barang-barang lain.
“Kalau kita dapat terangkan kepada mereka dalam kata lain, kita boleh bantu untuk tingkat pendapatan mereka ini dan kemahiran itu boleh diguna pakai untuk membantu para suami apabila sudah pencen nanti, supaya kebajikan anggota ini dapat terus dipelihara,” katanya.
Beliau berkara demikian ketika sesi wawancara khas media sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-88 di Wisma Perwira di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Affendi berkata, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang melihat kaedah terbaik agar mampu memberi manfaat jangka panjang kepada kualiti hidup para veteran ATM.
Jelas beliau, walaupun Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM dipertanggungjawabkan untuk memantau kebajikan mereka namun usaha dan insentif yang diberikan bukanlan bersifat kekal kerana keberkesanannya banyak bergantung kepada peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan selain sumbangan ihsan.
“Mesej yang saya ingin sampaikan sempena Hari ATM adalah dari segi kebajikan iaitu berkenaan dengan veteran kerana kita tahu bahawa masalah bekas-bekas askar ini yang telah tamat perkhidmatan bukan semua tapi majoritinya, ketentuan kelangsungan hidup mereka ini tidak terjamin disebabkan peluang pekerjaan kedua tidak ada.
“Perkara ini yang kita masih lagi cari jalan, apa langkah yang terbaik, pada masa sama pendekatan ini tidak boleh dilakukan dari satu sudut sahaja tetapi kita kena lakukan secara holistik kerana ia memerlukan pembabitkan pihak kerajaan, awam, swasta dan juga ATM yang perlu menyediakan mereka dari segi kesedaran dan sikap.
“Itu semua kena ada supaya apabila berhenti askar, mereka ini sudah bersedia untuk menghadapi fasa kehidupan baharu yang lebih selesa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Affendi berkata, kebanyakan anggota tentera menamatkan perkhidmatan dalam keadaan peningkatan kos sara hidup yang tinggi pada masa kini dan secara langsung membuatkan mereka terjerumus ke dalam kumpulan pendapatan isi rumah di bawah paras atau kategori B40.
Katanya, perkara tersebut diburukkan lagi dengan situasi semasa yang menyukarkan mereka untuk mendapatkan peluang pekerjaan baharu.
“Anggota ini yang sebelumnya bernaung di bawah satu organisasi di mana mereka dapat mengecapi keselesaan. But after giving all their life and sweat to the country, the next thing apabila mereka sudah sampai umur persaraan, we discard them, jadi ia tidak adil,” katanya.
Justeru, katanya, adalah menjadi harapan ATM supaya masyarakat terutamanya golongan muda untuk lebih menghargai jasa dan pengorbanan tentera menerusi kutipan Tabung Pahlawan yang dikendalikan oleh JHEV. – MalaysiaGazette