Peniaga menyusun ayam-ayam segar yang dijual semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pasar Dato Keramat, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 26 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak bercadang untuk memperkenalkan kawalan harga tambahan selain yang telah dilaksanakan ketika musim perayaan besar Malaysia di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dalam mengekang kenaikan harga ayam secara berulang-ulang.

Walau bagaimanapun, kementerian tidak teragak-agak untuk melaksanakan kawalan harga jika harga terus meningkat di luar harga munasabah atau terdapatnya kartel yang memanipulasi harga di semua peringkat rantaian.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian itu akan melaksanakan pendekatan baharu dengan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada peniaga peringkat borong dan runcit untuk mengadakan libat urus bersama pengeluar dan penternak ayam di lokasi/lokaliti berlakunya kenaikan harga.

Pendekatan baharu diambil bagi menangani masalah kenaikan harga barang terutama harga ayam yang seringkali berulang, selain membolehkan peniaga menyemak harga barang dan kos belian bagi mendapatkan margin untung yang lebih munasabah.

Di samping itu, pendekatan ini juga bertujuan memberi peringatan kepada peniaga ayam supaya tidak menaikkan harga di mana-mana peringkat rantaian pengedaran sewenang-wenangnya.

Sekiranya peniaga enggan memberi kerjasama dalam menjayakan pendekatan baharu ini, tindakan tegas akan diambil dan kompaun maksimum dan/atau pendakwaan di mahkamah akan diambil ke atas peniaga terlibat.

”Diharapkan, peniaga di semua peringkat rantaian mengekalkan etika yang tinggi dalam menjalankan perniagaan dan membantu kerajaan agar harga ayam kekal stabil tanpa kenaikan mendadak dan berterusan.

”KPDNHEP akan mengadakan perbincangan secara berterusan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam memastikan faktor huluan seperti harga dedak ayam yang diimport, harga baka ayam dan harga anak ayam yang mempengaruhi harga ayam di peringkat hiliran dapat diminimakan dan terurus,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, industri dan bekalan ayam di kawal selia oleh MAFI dan KPDNHEP bersedia memainkan peranan berkaitan polisi harga ayam di pasaran.

KPDNHEP sentiasa memantau harga barangan melalui lebih 1,000 Pegawai Pemantau Harga yang mengutip harga setiap hari yang mana trend pergerakan harga diketahui dan tindakan segera diambil ke atas premis yang menjual pada harga tidak munasabah berdasarkan pemantauan ini tanpa menunggu aduan daripada pengguna.

Begitu juga dengan lebih 2,200 Pegawai Penguatkuasa yang memeriksa dan memantau setiap hari di seluruh negara agar peniaga terutama di peringkat runcit tidak mencatut harga dan kekal menjalankan perniagaan secara beretika.

Pemantauan harga runcit pada 10 September 2021 mendapati harga purata ayam bersih standard peringkat Nasional adalah pada paras RM8.83/kg.

Di Semenanjung, harga purata ayam bersih standard adalah RM8.78/kg dan julat harga jualan adalah antara RM5.99/kg hingga RM11.00/kg.

Berdasarkan pemerhatian kementerian, premis yang menjual pada harga tinggi melebihi RM9.00/kg terdiri daripada pasar basah/awam.

Harga paling tinggi adalah RM11.00/kg dijual di Pasar Besar Raub, Pahang.

Tambahnya, dalam masa yang sama, premis pasar raya dan pasar raya besar masih menawarkan ayam bersih standard pada harga yang berpatutan.

Premis yang menjual pada harga paling rendah pada RM5.99/kg adalah Pasar Raya Tesco/Lotus seluruh negara.

Selain itu, Pasar Raya Giant, Pasar Raya Mydin dan Econsave masih menawarkan ayam pada harga RM7.39-RM7.99/kg.

Oleh itu, pengguna dinasihatkan untuk bijak dalam memilih tempat dan masa untuk membeli ayam pada harga patut.

Di Sabah, harga purata ayam bersih standard adalah pada RM11.33/kg. Harga paling tinggi adalah RM11.80/kg dijual di Gentingmas Mall, Sandakan manakala harga paling rendah adalah RM10.90/kg dijual di Pasar Basah Sibuga, Batu 8 di Sandakan.

Di Sarawak pula, harga purata ayam bersih standard adalah RM8.56/kg. Harga paling tinggi adalah RM9.80/kg dijual di Central Market, Sarikei manakana harga paling rendah adalah RM7.50/kg dijual di Everwin Supermarket Mukah.

Alexander menambah, hasil analisis awal mendapati berlaku peningkatan terhadap kos bagi bahan-bahan utama makanan (dedak) ayam yang telah meningkat hampir beberapa kali sepanjang tahun ini iaitu jagung, soya dan minyak sawit mentah.

Dua bahan tersebut iaitu jagung dan soya merupakan item yang diimport daripada negara pengeluar luar negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast