Mock Cheque bernilai RM100,000 disampaikan oleh YBhg. Datuk Wan Saiful Wan Jan, Pengerusi PTPTN kepada Haslinda Alias, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Agro Fresh Technology Sdn Bhd sebagai simbolik penyerahan sumbangan. Turut hadir Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjalinkan kerjasama dengan FGV Agro Fresh Technology Sdn Bhd melalui Program PTPTN Prihatin untuk membantu peminjam dari golongan asnaf melalui perniagaan secara dalam talian selari dengan perubahan masa kini.

FGV Agro Fresh Technology Sdn Bhd merupakan anak syarikat FGV Holdings Berhad yang mengendalikan perniagaan menjual barangan keperluan harian secara dalam talian menerusi platform jenama Gogopasar.

Menerusi pautan digital online www.gogopasar.com, pelanggan boleh mendapatkan keperluan barangan segar seperti ayam, daging, sayur-sayuran, ikan serta barangan keperluan harian lain.

Melalui kerjasama ini, para peminjam golongan asnaf akan dibantu untuk menjadi usahawan Gogoprenuer dalam memperkenal dan menjual barangan secara dalam talian di kawasan sekitar Lembah Klang melalui platform Gogopasar tersebut. PTPTN memberikan sumbangan wakalah zakat sebanyak RM100,000 kepada 20 peminjam PTPTN dalam kategori asnaf sebagai modal untuk memulakan perniagaan dengan kerjasama FGV Agro Fresh Technology Sdn Bhd.

Setiap peminjam PTPTN akan menerima sumbangan sebanyak RM5,000.00 untuk setiap pakej Gogoprenuer merangkumi penyejuk khas (custom chiller) dua pintu, kelas latihan termasuk enam bulan pemantauan, buku pemasaran dan perniagaan, bunting, banner, pelekat kereta, topi dan T-shirt.

Peminjam yang berminat boleh memohon untuk menyertai program ini dengan membuat pendaftaran melalui kaedah yang akan dimaklumkan oleh FGV Agro Fresh Technology Sdn Bhd nanti.

Pengesahan status peminjam dan kategori asnaf akan dilaksanakan oleh PTPTN melalui kerjasama dengan Lembaga Zakat Negeri.

Peminjam yang memenuhi kriteria akan melalui sesi temuduga untuk pemilihan 20 orang yang layak menerima sumbangan tersebut.

Penyerahan Sumbangan PTPTN kepada FGV Agro Fresh Technology Sdn Bhd telah berlangsung pada 30 Ogos 2021 lalu.

PTPTN berharap kerjasama ini akan memberikan ruang dan peluang kepada peminjam PTPTN untuk meneruskan kehidupan dengan ekonomi yang lebih baik ketika berdepan dengan kesukaran situasi pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast