KUALA LUMPUR – Seorang remaja perempuan maut sementara adik lelakinya cedera selepas kediaman mereka hangus dijilat api dalam satu kejadian di Jalan Tambahan 2, Kampung Baru Kundang, Rawang dekat sini hari ini.
Mangsa, B. Triviya, 19, disahkan meninggal dunia akibat melecur manakala B. Vishnu yang berusia tiga tahun cedera dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB).
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.10 pagi sebelum dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang dan BBP Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, seramai 16 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam usaha memadamkan kebakaran itu.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah yang hangus kira-kira 90 peratus.
“Terdapat seorang kanak-kanak yang cedera dan dikeluarkan oleh orang awam sebelum di bawa ke HSB manakala remaja perempuan melecur disahkan meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Norazam, ketika kejadian ibu bapa kepada kedua-dua mangsa tidak berada di rumah kerana bekerja dan punca sebenar kejadian masih lagi dalam siasatan. – MalaysiaGazette