PENAMPANG – Seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan maut dalam kejadian tanah runtuh di Forest Hill, di sini petang ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Misran Bisara berkata, mangsa dikenali sebagai Salmah Hamid, 25, dan Rosatima Asbirin, 5.
Beliau berkata, empat lagi mangsa kejadian itu ditemukan selamat iaitu Risdah Jabin, 22, Norsirah Asbirin, 3, Juliana Zulazmil, 1, dan seorang bayi perempuan berusia lapan bulan, Dayana Zulazmil.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah menerima panggilan kejadian itu pada pukul 3.57 petang tadi, dua orang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Beliau berkata, punca kejadian dan maklumat lain seperti hubungan mangsa masih dalam siasatan.
Hujan lebat yang berterusan sejak 12.30 tengah hari, telah menyebabkan beberapa kejadian tanah runtuh dan banjir di sekitar Penampang dan Kota Kinabalu hari ini. – Bernama