KUALA LUMPUR – Kemunculan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said mempengerusikan persidangan Dewan Rakyat pada sesi petang ini menimbulkan tanda-tanya dalam kalangan ahli-ahli Parlimen.
Ada yang mempersoalkan apakah tindakan itu mengikut peraturan atau sebaliknya.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, sekurang-kurangnya Ahli Dewan dimaklumkan lebih awal oleh Yang di-Pertua Dewan, Datuk Azhar Azizan Harun berhubung penggantian itu.
Beliau berkata, adakah tindakan itu betul, sedangkan Azalina telah meletakkan jawatan itu secara rasmi.
“Kita sedang bermesyuarat, tiada pemakluman daripada Yang di-Pertua Dewan mengenai penggantian Timbalan Speaker.
“Begitu mudah dilakukan, adakah peraturan mesyuarat ini diguna pakai dengan sebetulnya?” soal beliau.
Menjawab persoalan itu, Azalina memberitahu, tugasnya mempengerusikan mesyuarat itu hanya sementara dan dibuat mengikut kuasa di bawah Perkara 73.
“Saya diminta, mengikut Perkara 73 untuk mempengerusikan mesyuarat sementara. Macam mutaah. Mungkin Isnin dan Selasa ini orang lain,” katanya ringkas.
Beliau kemudian meneruskan mempengerusikan sesi perbahasan menjunjung ucapan terima kasih titah Yang di-Pertuan Agong.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mencelah dengan menyatakan, sepatutnya pemilihan jawatan Timbalan Speaker selesai pada sesi persidangan semalam.
Bagaimanapun, katanya, berlaku ketidakpuasan hati beberapa Ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dengan nama Datuk Seri Ahmad Maslan dari UMNO sebagai calon.
“Saya dapat tahu parti Bersatu tidak bersetuju UMNO lantik Ahmad (Maslan). Ini isu politik dalaman, selesaikan jangan sebabkan Parlimen tidak ada Timbalan Speaker. Kekosongan ini patut diisi secepat mungkin.
“Apa pun, YB Pengerang sesuai dengan jawatan Timbalan Speaker,” katanya.
Pada sesi sebelah pagi Azalina telah mengambil bahagian membahas usul titah ucapan Yang di-Pertuan Agung. – MalaysiaGazette