KUALA LUMPUR – Sebab utama yang menjadi punca rakyat ‘menyampah’ untuk ambil tahu tentang politik adalah kerana sikap ahli politik sendiri yang sesuka hati membuat keputusan untuk lompat parti.
Itu pandangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How berhubung kerugian yang dihadapi Pakatan Harapan (PH) sebelum kembali menjadi pembangkang.
Beliau berkata, rakyat menjadi tidak selesa dan kurang yakin dengan wakil rakyat ekoran perkara tersebut dan disebabkan itu perlu adanya undang-undang untuk mengekang sekiranya tidak boleh bertegas mengenainya secara total.
“Suara rakyat yang ada di bawah adalah aku undi kat engkau, kau menang jadi YB, gelar nama Yang Berhormat tapi, tak berhormat sebab lompat sini lompat sana macam katak…apahal aku nak pilih engkau.
“Jadi, apabila rakyat dah kurang selesa dengan demokrasi, kurang berkeyakinan dengan wakil rakyat, kita perlu sesuatu undang-undang untuk mengekang sekiranya tidak boleh bertegas secara total,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam Program SkopMG bertajuk Perjanjian Dwi Partisan: Apa Kata Pemimpin Muda yang disiarkan secara langsung di Facebook malam ini.
Turut sama pada progra itu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Howard berkata, meskipun ada pendapat lain daripada segi pendekatannya namun, sama ada Akta Lompat parti akan dilengkapkan dengan pilihan raya semula itu perlu dibincangkan.
Bagaimanapun katanya, asas utama adalah akta lompat parti telah dimeterai sebagai sebahagaian daripada yang perlu diadakan.
Katanya, perkara itu merupakan kegagalan yang dihadapi oleh PH sewaktu menajdi kerajaan sebelum ini.
“Tetapi untung bagi kerajaan kerana mereka dapat kredit walaupun secara fakta ini sepatutnhya keuntungan bersama …dan yang penting rakyat tak perlu dan tak akan lagi lihat adanya lompat parti lepas adanya undang-undang ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette