Wahid Razzaly

KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersedia menerima kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus bermula 15 Oktober ini.

Menurut Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly, kemasukan pelajar ke
kampus akan dilaksanakan secara berperingkat seperti yang diumumkan oleh
Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 14 September lalu.

Katanya universiti ini akan mengutamakan kumpulan pelajar yang berkeperluan untuk
pulang ke kampus namun hanya membabitkan mereka yang sudah lengkap vaksinasi.

“Keutamaan akan diberikan kepada pelajar baharu yang memerlukan pengalaman
menjalani kehidupan di kampus dan juga pelajar tahun akhir yang perlu menghabiskan
pengajian mereka mengikut masa yang ditetapkan,” katanya.

Tambah beliau, pihak universiti akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP)
Sektor Pendidikan Tinggi: Pengoperasian IPT yang telah ditetapkan bagi memastikan
keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin dan tiada penularan di kampus.

Beliau turut menyokong langkah pengurangan yuran sebanyak 20 peratus bagi
semester satu sesi akademik 2021/2022 kepada semua pelajar.

“70 peratus pelajar kami datangnya dari keluarga golongan B40 dan mereka ini
kebanyakannya terkesan dari segi ekonomi akibat pandemik ini.

“Oleh itu, UTHM telah menyediakan peruntukan RM4 juta untuk membantu golongan ini
bagi memastikan mereka dapat meneruskan pembelajaran seperti biasa pada semester
akan datang.

"Bagi aspek kadar vaksinasi dalam kalangan warga UTHM pula, sehingga hari ini 97
peratus staf dan 83 peratus pelajar sudah lengkap divaksinasi. "UTHM akan terus memastikan semua staf dan pelajar melengkapkan dua dos vaksin menjelang akhir September ini," katanya.

Sementara itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTHM juga turut menyambut baik
pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi berkenaan pembukaan
kampus secara berfasa dalam memastikan sistem Pembelajaran dan Pengajaran (PdP)
di IPT terus relevan.

Menurut Yang Dipertua MPP, Muhammad Faris Abdul Hadi hasil tinjauan kilat yang
dibuat rata-rata pelajar gembira dan tidak sabar untuk kembali merasai semula
kehidupan di kampus dan menghadiri kuliah secara fizikal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast