KUALA LUMPUR – Bermula hari ini tujuh kawasan Rawat dan Rehat (R&R) dan hentian mula dibuka untuk orang ramai yang lengkap divaksin dua dos.
Ketua Pegawai Komersial PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Christine Liew berkata, pembukaan ini berikutan beberapa negeri telah memasuki Fasa ke-2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Kami sangat teruja mengalu-alukan pelanggan kami untuk kembali di R&R dan hentian sebelah, bagi menikmati sajian hidangan panas dan berehat sebentar terutamanya setelah mengharungi perjalanan yang jauh.
“Dalam beberapa minggu lagi, kami akan mengumumkan lebih banyak lokasi di beberapa R&R yang bersedia untuk membuka ruang makan di medan selera, berikutan lebih ramai peniaga R&R kami akan memperoleh status vaksin lengkap mereka dalam masa 14 hari akan datang,” katanya menerusi kenyataan.
Tujuh R&R berkenaan adalah Restoran Jejantas Sungai Buloh, Hentian Sebelah Simpang Pulai (Arah Selatan), Mambau (Arah Timur) dan Mambau (Arah Barat) yang mula dibuka hari ini.
Manakala Hentian Sebelah Sungai Buloh (Arah Selatan) pula mula dibuka pada 17 September seterusnya, R&R Dengkil (Arah Utara) dan Dengkil (Arah Selatan) dibuka pada 18 September 2021.
PLUS menerusi kenyataan dalam masa yang sama menyatakan, kini lebih daripada 80 peratus rakan niaga di kawasan rehat dan rawat (R&R) kendaliannya itu telah lengkap divaksinasi.
Menurut beliau, pelanggan lebuh raya yang belum menerima vaksin lengkap masih boleh membeli dan membawa pulang makanan daripada kesemua R&R yang akan mulai beroperasi hari ini.
Christine menyeru agar semua pelanggan supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Melalui semangat Kita Jaga Kita, kami menyeru para pelanggan yang telah menerima vaksin lengkap untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN dengan menunjukkan status vaksinasi Covid-19 di Aplikasi MySejahtera mereka untuk pengesahan ketika memesan makanan di gerai yang dikendalikan oleh peniaga R&R kami.
“Bagi mereka yang mempunyai status vaksinasi lengkap, pelanggan akan menerima label pelekat hijau daripada peniaga R&R kami bagi membolehkan mereka menikmati makanan di medan selera R&R,”tambahnya.-MalaysiaGazette