Foto Instagram Michael Ang.

KUALA LUMPUR – Pengarah dan penerbit, Michael Ang yang terkenal dengan mulut lantangnya mempersoalkan mentaliti segelintir masyarakat terhadap situasi negara ketika ini.

Menerusi Instagram miliknya, dia yang mesra disapa Mike mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada pengikutnya namun pelik dengan sikap segelintir ibu bapa.

Menurut pengarah drama Perempuan Tanpa Dosa itu, ramai golongan ibu bapa tidak berpuas hati apabila Kementerian Pendidikan mengumumkan tarikh pembukaan sekolah kerana risau akan keselamatan anak-anak berikutan pandemik Covid-19.

Namun pada masa sama, segelintir mereka berpusu-pusu keluar membawa keluarga beriadah di kawasan air terjun, pantai serta beberapa lokasi lain berikutan kelonggaran fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Selamat Hari Malaysia. Tapi layak ke kita sambut?

“Tak faham mentaliti sesetengah rakyat Malaysia. Bila sekolah nak buka, ibu bapa bising pasal itu dan ini, pasal keselamatan anak.

“Bila kerajaan bagi kelonggaran, kau orang boleh pula bawa anak-anak pergi air terjun, bercuti dan berkelah berpusu-pusu. Tak takut pula pasal anak-anak kau orang!

“Tolong fahamkan aku pasal apa kau orang fikir dan nak? Satu lagi, tempat awam bukan tong sampah kau orang, jangan jadi sampah masyarakat ya!” luahnya semalam. – MalaysiaGazette