SUBANG – Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di sini tidak lagi sunyi.
Padai hari kedua program gelembung pelancongan ke Pulau Langkawi, sekitar pukul 8.30 pagi, lapangan terbang berkenaan sudah mula dikunjungi pelancong yang bakal berlepas ke pulau peranginan di Kedah yang dibenarkan untuk dikunjungi baru-baru ini.
MalaysiaGazette difahamkan penerbangan yang tersedia buat masa ini adalah FireFly Airlines dan Malindo Airways Sdn Bhd (Malindo Air).
Untuk hari ini sahaja, sebanyak lima penerbangan ke Langkawi menerusi Malindo Air manakala dua lagi menerusi FireFly.
Premis-premis perniagaan di dalam lapangan terbang itu juga mula beroperasi.
Untuk rekod, bermula semalam orang ramai sudah mula melancong ke Pulau Langkawi menerusi program gelembung pelancongan.
Program itu merupakan projek rintis inisiatif kerajaan bagi membuka kembali sektor pelancongan domestik secara berperingkat.
Semua pelancong yang berhasrat bercuti di pulau peranginan tersebut diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ujian pengesanan itu perlu dilakukan ke atas individu dewasa (18 tahun ke atas) serta remaja dan kanak-kanak berusia 7 hingga 17 tahun.
Tiga cara yang boleh dilakukan sebelum memasuki pulau bebas cukai itu adalah dengan menjalani ujian pengesanan Covid-19 (RT-PCR atau RTK-Antigent) di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas; membeli kit ujian kendiri saliva dan membawanya ke lapangan terbang atau terminal feri untuk menjalani ujian pengesanan Covid- 19 di tempat saringan yang disediakan.
Pelancong selain itu juga boleh membeli kit ujian kendiri saliva melalui perkhidmatan yang akan disediakan oleh pihak swasta di tempat saringan di lapangan terbang atau terminal feri dan menjalani ujian pengesanan.-MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: