BALIK PULAU – Polis menahan seorang lelaki warga Bangladesh dipercayai mencabul remaja lelaki dalam satu kejadian di sebuah kebun sayur di Sungai Burung di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang remaja lelaki berusia 18 tahun pada Selasa lalu yang mendakwa dirinya dicabul suspek.
Jelas beliau, mangsa mendakwa dia baru selesai memancing pada pukul 11 pagi dan dalam perjalanan rumah berselisih dengan suspek sebelum suspek menyatakan hasrat mahu membeli ikan haruan dipancingnya.
“Berlaku tawar menawar dalam pembelian itu sebelum mangsa bersetuju menjual dua ekor ikan haruan dengan harga RM5. Bagaimanapun, suspek memberi alasan tidak membawa duit sebelum meminta mangsa ikutnya ke rumah untuk proses pembayaran.
“Sebaik tiba di lokasi rumah tersebut, suspek membawa mangsa ke kebun sayur belakang rumahnya sebelum memegang pergelangan tangan mangsa dan menyelak kain pelikatnya hingga nampak kemaluan.
“Suspek kemudian memasukkan tangan ke dalam seluar mangsa hingga terkena kemaluan mangsa. Terkejut dengan tindakan suspek, mangsa menepis tangan suspek sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Tambah Kamarul Rizal, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu namun mengaku takut dengan apa yang menimpa dirinya.
“Susulan itu, pihak polis berjaya menahan suspek berusia 23 tahun yang juga pekerja kebun sayur itu pada keesokan hari di Jalan Baru di sini.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63,” ujar beliau. – MalaysiaGazette