Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) NAFAS yang baharu, Datuk Zamri Yaakob..

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengumumkan pemilihan Datuk Zamri Yaakob sebagai Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (AJP) baharu berkuatkuasa 13 September lalu.

Pelantikannya dibuat susulan peletakan jawatan Dr. Anis Mahmud.

NAFAS dalam satu kenyataan berkata, Zamri dipilih melalui proses pengundian semua AJP pertubuhan yang dikendalikan sepenuhnya oleh Pertubuhan Peladang (PP) dalam satu mesyuarat pada Isnin lepas.

Untuk rekod, Zamri yang berasal daripada Temerloh, Pahang berdaftar sebagai ahli peladang sejak tahun 1985.

Beliau juga merupakan ahli PP yang aktif dalam masa yang sama telah memegang pelbagai jawatan di dalam pelbagai peringkat Pertubuhan Peladang.

Antaranya jawatan yang pernah disandang oleh beliau adalah Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PP Kawasan (PPK) Pulau Tawar sejak 1996, AJP Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Pahang sejak 2001 seterusnya dipilih menjadi Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Pahang pada tahun 2020.

Sepanjang penglibatannya dalam PP, Zamri  telah meraih Anugerah Peladang Jaya peringkat Kebangsaan dan negeri Pahang pada tahun 2002.

Selain PP, beliau juga memegang pelbagai jawatan antaranya sebagai Pengerusi Koperasi Pekebun Getah Nasional Berhad (NARSCO) Berhad sejak 2012 sehingga kini, Pengerusi NARSCO Travel Tours Sdn Bhd (2013 – kini), Ahli Pihak Berkuasa RISDA (2016 – kini), Pengerusi Koperasi Gabungan Negeri Pahang (2014 – kini), Pengerusi Koperasi Pekebun Kecil Daerah Jerantut (1998 – kini) serta Lembaga Pengarah RISDA Fleet Sdn Bhd (2014 – kini).

Sehubungan itu, NAFAS percaya pengalaman luas beliau dalam bidang pertanian serta pengurusan PP serta Koperasi berasaskan pertanian mampu membawa transformasi kepada pergerakan PP seluruh negara. – MalaysiaGazette