ISKANDAR PUTERI – Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad menjangkakan masalah akan timbul sekiranya program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) masih mengenakan syarat ketat terhadap para pesertanya.
Beliau mengharapkan program tersebut dapat dikaji semula dengan segera dengan keputusan yang mampu memberi kebaikan kepada semua pihak.
“Kalau boleh kekal dengan syarat lama kerana keadaan di Johor ini berbeza disebabkan negeri Johor ini berjiran dengan Singapura dan ianya sudah tentu memberi kekuatan di situ.
“Kita melihat perlunya syarat-syarat peserta MM2H ini dilonggarkan mengikut syarat-syarat lama program itu dan bukannya mengikut peraturan baharu yang ditetapkan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian selepas majlis penyerahan 46 unit rumah kuntuk projek penempatan semula Kampung Pendas Baru Fasa 2, di sini, hari ini.
Pada 1 September lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kerajaan akan mengkaji semula status pemegang pas MM2H yang tidak pernah bermastautin di negara ini bagi memastikan pemegang pas itu adalah berkualiti dan dapat membantu ekonomi negara.
Hamzah berkata, kerajaan juga akan mengkaji syarikat lain seperti pendapatan pemohon serta perkara-perkara membabitkan keberhasilan dan keberkesanan Program MM2H dalam merangsang ekonomi negara.
Kelmarin, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menzahirkan rasa kecewa terhadap Kementerian Dalam Negeri kerana enggan menyemak semula syarat ketat MM2H yang ditetapkan baru-baru ini.
Hasni yang mengakui program MM2H memberi manfaat kepada Johor memberitahu, megeri itu akan menerima kesan sekiranya syarat ketat dilaksanakan. – MalaysiaGazette