Keadaan sekitar lokasi kejadian tanah runtuh yang menyebabkan 28 keluarga yang mendiami 19 buah rumah teres dua tingkat terjejas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Kemensah Height, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 19 SEPTEMBER 2021.

AMPANG – Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) akan memuktamadkan pelan kerja berkaitan penstabilan cerun dan menaik taraf Sungai Kemensah dengan kos projek dianggarkan RM10 juta.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerja-kerja penstabilan dan naik taraf akan mula dilaksanakan selepas mendapat input daripada pelbagai agensi seperti Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Untuk kestabilan jangka panjang JPS telah pun merangka suatu pelan tindakan yang menelan kos RM10 juta bagi memastikan insiden seperti ini tidak berulang pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sidang media selepas meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights dan Jalan BKI-2 di sini hari ini.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, kementerian akan menyegerakan proses penyaluran peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membolehkan JPS menjalankan kerja-kerja penstabilan cerun sungai termasuk memasang sheet pile dan kerja-kerja tanah yang berkaitan seperti yang dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Jelas beliau, kajian penilaian dan tindakan sedang diselaras secara bersama dengan pihak MPAJ, JMG dan Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR.

“Hasil pemeriksaan mendapati pergerakan tanah daripada runtuhan tersebut telah menyebabkan Sungai Kemensah terkambus dan mengakibatkan aliran sungai
terhalang.

“Semalam, JPS telah melaksanakan kerja-kerja awalan pembersihan sisa runtuhan bagi memastikan aliran sungai lancar.

“Penyelesaian jangka pendek melalui baik pulih aliran dan tebing sungai sepanjang 250 meter ini adalah untuk mengurangkan risiko pergerakan tanah ke atas lot-lot unit kediaman di kawasan bersebelahan,” ujarnya.

Pada Jumaat, Mohamed Azmin memaklumkan pembinaan cerucuk besi perlu dilaksanakan segera di kawasan yang terlibat dalam insiden tanah runtuh bagi menahan sebarang pergerakan tanah di kawasan cerun runtuhan.

Menurut beliau, pihaknya telah meminta pertimbangan dan peruntukan sebanyak RM1 juta daripada Kementerian Kewangan bagi tujuan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast