KUALA LUMPUR – Sebanyak 411 kes bunuh diri direkodkan sepanjang tempoh negara berdepan pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu sehingga Ogos tahun ini, kata Datuk Seri Rina Mohd. Harun.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut mengendalikan sejumlah 1,578 kes keganasan rumah tangga di seluruh negara sejak Mac tahun lalu hingga kini, membabitkan 1,432 perempuan dan 146 lelaki.
“Kementerian memandang serius terhadap krisis jiwa dan mental yang kian meningkat dalam kalangan masyarakat.
“Pada masa yang sama, kajian tinjauan oleh kementerian mendapati sokongan sosial adalah antara mekanisme untuk mengurangkan kadar tekanan yang dihadapi oleh mereka yang terkesan secara langsung oleh ancaman pandemik Covid-19,” katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Ahli Parlimen Kampar, Su Keong Siong (PH) di Dewan Rakyat hari ini.
Rina memberitahu, kementerian juga mengambil beberapa tindakan bagi mendepani situasi dalam menangani krisis jiwa dan mental kerana kehilangan pendapatan, berjauhan daripada keluarga dan kegelisahan kesan wabak Covid-19.
Jelasnya, ia termasuk menyediakan Khidmat Aduan Atas Talian melalui Talian Kasih 15999 atau aplikasi WhatsApp di nombor 019-2615999, sokongan kelangsungan hidup dalam bentuk pemberian bakul makanan dan bakul prihatin negara serta mempercepat bayaran Bantuan Kewangan Bulanan Persekutuan oleh JKM berjumlah RM1.5 bilion untuk menampung keperluan seramai 498,935 penerima bantuan.
Dalam jawapan bertulis menjawab soalan Ahmad Hasan (WARISAN-Papar) pula, beliau berkata, setakat 9 September lalu, bilangan Orang Kelainan Upaya (OKU) yang sudah menerima vaksin adalah seramai 503,562 orang dengan sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan seramai 375,482 orang menerima dua dos vaksin lengkap.
“Seramai 21,832 orang bagi Sabah yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin dan 15,099 orang sudah menerima dua dos vaksin lengkap,” katanya menjawab soalan Ahmad yang mahukan bilangan penerima vaksin OKU di Sabah.
Sementara itu, menjawab soalan Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) berkenaan kes wanita yang terpaksa melacurkan diri sepanjang pandemik, Rina berkata sejak berlaku pandemik Covid-19, pihaknya tidak menerima sebarang aduan, kes atau klien membabitkan wanita yang terpaksa melacurkan diri demi sesuap nasi.
Dalam pada itu, jawapan bertulis menjawab soalan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN) berkenaan sistem bantuan psikologi, Rina berkata, perkhidmatan kaunseling dan sokongan psikososial sudah dilaksanakan secara berterusan sejak bermulanya pandemik melalui pelbagai cara dan medium.
“Antaranya seperti khidmat sokongan psikologi dalam talian dan program sokongan psiko-sosial melalui media elektronik dan media cetak serta media sosial. Petugas barisan hadapan juga sentiasa menyantuni mangsa-mangsa yang terjejas di lapangan akibat Covid-19 bagi memberikan bantuan sokongan emosi dan psikologi,” katanya. – MalaysiaGazette