Mazlan Bujang menyaksikan seorang pelajar divaksin sempena Program Imunisasi Kebangsaan Bagi Vaksinasi Pelajar Sekolah Negeri Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya di sini.
JOHOR BAHRU – Seramai 563 guru di negeri ini masih lagi menolak untuk divaksin dan majoritinya memberikan alasan kesihatan.
Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Mazlan Bujang berkata, kebanyakan mereka adalah guru wanita.
Mereka termasuk guru yang sedang mengandung dan mendakwa bimbang suntikan vaksin akan menjejaskan kandungan dan mereka bukan anti-vaksin.
“Kebanyakannya guru wanita yang sedang hamil dan menyuarakan rasa bimbang  suntikan yang diterima itu akan memberi kesan kepada mereka.
“Kita tidak memaksa guru wanita berkenaan dan difahamkan mereka akan mengambil suntikan selepas bersalin,” katanya ketika ditemui di Program Imunisasi Kebangsaan Bagi Vaksinasi Pelajar Sekolah Negeri Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Daya di sini.
Mazlan berkata, daripada 563 ini terdapat kira-kira 200 guru yang enggan divaksin tanpa mempunyai masalah kesihatan.
Pada bulan lalu, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) mendedahkan seramai 779 guru di Johor dilaporkan menolak untuk divaksinasi dan memberi alasan masih ragu-ragu dengan vaksin.
Susulan itu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengadakan pertemuan dengan mereka bagi mencari penyelesaian di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di sini pada 27 Ogos lalu.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, bagi 200 guru itu yang masih ingkar dan menolak untuk divaksin, pihaknya menyerahkan perkara berkenaan kepada Kementerian Pendidikan untuk sebarang tindakan.
Namun katanya, pendekatan berhemah dengan memberi penjelasan dan penerangan berkenaan vaksinasi akan terus dilakukan dalam usaha memberi kefahaman yang jelas kepada mereka.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan guru yang enggan divaksin itu amat kecil iaitu kira-kira satu peratus daripada 48,000 guru yang terdapat di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri menjunjung kasih dengan keprihatinan Tunku Ismail Sultan Iskandar yang  memberi perhatian dan  bertemu dengan guru-guru yang enggan divaksin itu.
“Selepas perjumpaan dengan Tunku Ismail jumlah (guru menolak vaksin) berkurangan dan perjumpaan ini menampakkan kesannya,” ujar beliau.- MalaysiaGazzete

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast